'Saya selalu jumpa arwah di masjid'

Muhamad Akmal
Muhamad Akmal
A
A
A

KUALA KANGSAR - Pemergian lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini yang terlibat dalam kejadian kemalangan ngeri berhampiran Terowong Menora bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga tetapi turut meninggalkan kesan kepada rakan-rakan karib mereka.

Muhamad Akmal Norazli, 22, antara yang sedih dengan pemergian rakannya, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.

Menurutnya, kedua-dua mereka sangat mengambil berat dan suka membantu rakan-rakan yang lain.

"Arwah pernah nak bagi bagi pinjam duit sebelum raya, tapi saya menolaknya sebab masing-masing dah nak raya.

"Mereka memang kawan yang sangat baik. Bukan itu sahaja, mereka selalu ke masjid. Saya jumpa mereka kebanyakannya di masjid," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Raja Permaisuri Bainun, USAS di sini pada Khamis.

Muhamad Akmal berkata, berita pemergian sahabatnya itu begitu mengejutkan kerana terlalu pantas dan kali terakhir mereka bertemu ketika Ramadan lalu.

Dia yang turut menyempurnakan solat jenazah di masjid berkenaan menjelaskan pemergian kesemua mangsa merupakan kehilangan besar buat USAS dan jemaah masjid.