Jenazah Iqbal akan dikebumikan di Senai

Allahyarham Iqbal Hasnun
Allahyarham Iqbal Hasnun
A
A
A

KULAI - Jenazah salah seorang mangsa nahas kemalangan di kilometer (KM) 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran dengan Terowong Menora, Iqbal Hasnun Halimi, 23, dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Senai, di sini.

Ibu saudara mangsa, Siti Nurassikin Paralan, 43, berkata, buat masa ini keputusan membawa pulang jenazah Iqbal ke kampung halamannya di Johor juga telah dinyatakan oleh keluarganya.

"Kami menerima makluman yang jenazah akan dibawa pulang ke Johor selepas selesai ujian DNA kerana keluarga hanya boleh menuntut jenazah selepas itu, kita tak pasti hari ini (Jumaat) atau esok kebumi.

“Kami hanya menanti ketibaan mereka di rumah keluarga mereka di Taman Impian Jaya, Senai kerana setakat ini masih tiada perkembangan lanjut.

"Jenazah Iqbal dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran di Senai," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan lima sekawan yang dikenal pasti sebagai pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah lori treler.

Empat lagi mangsa yang maut adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, (pemandu kereta), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, (penumpang hadapan), Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.