HFMD: Jangkitan meningkat 6.8 kali ganda di Johor

Jumlah jangkitan HFMD di Johor dilaporkan meningkat sebanyak 6.8 kali ganda berbanding dalam tempoh sama direkodkan pada tahun lalu. - Foto 123RF
Jumlah jangkitan HFMD di Johor dilaporkan meningkat sebanyak 6.8 kali ganda berbanding dalam tempoh sama direkodkan pada tahun lalu. - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah jangkitan penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) di negeri ini dilaporkan meningkat sebanyak 6.8 kali ganda berbanding dalam tempoh sama direkodkan pada tahun lalu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, berdasarkan laporan, pihaknya kini menerima sebanyak 640 kes HFMD setakat Minggu Epidemilogi (ME) 18/2022 berbanding 94 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Bagaimanapun, situasi kini masih lagi terkawal memandangkan bilangan ini adalah rendah berbanding situasi pra Covid-19, iaitu 1,015 wabak pada tempoh yang sama tahun 2019.

"Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun iaitu sebanyak 614 kes (96 peratus), diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 22 kes (tiga peratus) dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Tiang Soon berkata, sehingga kini, sebanyak 24 lokasi wabak HFMD telah dilaporkan dengan daerah tertinggi adalah di Johor Bahru dengan 10 wabak, diikuti Kluang (enam kes) dan beberapa kes di Kota Tinggi, Segamat dan Kulai.

“Majoriti lokasi penularan berlaku di taska dengan catatan 17 wabak, diikuti oleh tadika (tiga), rumah persendirian (dua) dan pusat jagaan kanak-kanak (satu).

“Penyakit HFMD ini disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan pengusaha tadika kanak-kanak mengambil pendekatan yang selamat dengan lebih mengutamakan kebersihan.

“Memandangkan kebanyakan penularan berlaku di institusi penjagaan kanak-kanak, Jabatan Kesihatan Negeri Johor ingin menegaskan agar semua pengusaha institusi mengambil langkah berjaga-jaga.

“Antaranya basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

"Amalkan etika batuk dan bersin yang betul iaitu dengan menutup mulut dan hidung semasa melakukannya,” katanya.