Bayar kompaun RM15 juta, Serba Dinamik, empat pengurusan tertinggi dibebas

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat melepas dan membebaskan Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu, Serba Dinamik Holdings Berhad dan empat pengurusan tertingginya atas tuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad. - Gambar hiasan.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat melepas dan membebaskan Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu, Serba Dinamik Holdings Berhad dan empat pengurusan tertingginya atas tuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad. - Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu, Serba Dinamik Holdings Berhad dan empat pengurusan tertingginya dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Ia susulan lima tertuduh itu membuat penyelesaian penuh kompaun kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebanyak RM15 juta, Isnin lalu.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, 58; Pengarah Eksekutif, Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi, 39; serta Naib Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman, 37.

Serba Dinamik, Syed Nazim, Mohd Abdul Karim Azhan dan Muhammad Hafiz masing-masing menjelaskan kompaun RM3 juta.

Perkara itu disahkan ketika sebutan kes berkenaan yang dibuat secara berasingan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohd Khalid, Kamarudin Kamsun, Ahmad Kamar Jamaluddin dan Datin Sabariah Othman.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dan pasport dikembalikan kepada semua tertuduh.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SC, Hashley Tajudin, Zul’aida Zulkifli, Izzat Fauzan dan Pegawai Pendakwa SC Mohd Izuddin Mohamed.

Serba Dinamik selaku Orang Kena Saman (OKS) serta empat tertuduh pula diwakili peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Wan Aizuddin Wan Mohammed dan Farhan Read.

Pada prosiding di hadapan Hakim Kamarudin, Timbalan Pendakwa Raya Hashley Tajudin memaklumkan kompaun yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) telah dijelaskan melalui cek pada 9 Mei lalu dan telah dilunaskan pada Khamis.

"Pasukan pendakwaan memohon pertuduhan ditarik balik mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah manakala semua tertuduh dilepaskan kerana kami tidak berniat untuk meneruskan kes terhadap mereka,'' katanya.

Pada 10 April lalu, mahkamah dimaklumkan bahawa AGC telah menerima representasi daripada Serba Dinamik dan pengurusan tertingginya.

Representasi tersebut dihantar pada 17 Mac lalu dan diterima secara bersyarat oleh AGC pada 7 April.

Untuk rekod, Serba Dinamik ditubuhkan pada 1993, mempunyai anak syarikat yang mengendalikan tenaga minyak dan gas di peringkat antarabangsa manakala operasinya termasuk di Bahrain, United Arab Emirates (UAE), Singapura, India dan United Kingdom (UK).

Mengikut pertuduhan, Serba Dinamik, Syed Nazim, Azhan serta Muhammad Hafiz didakwa pada 28 Disember lalu, dengan niat untuk menipu, dengan mengemukakan pernyataan palsu yang terkandung dalam ‘Serba Dinamik Holdings Berhad's Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020’.

Mohd Abdul Karim pula didakwa atas kesalahan sama keesokannya.

Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum mengikut seksyen 369 akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta, jika disabitkan kesalahan.