3,410 kes baharu Covid-19, empat kematian

Seramai 51 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 34 kes memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 17 kes lagi memerlukan mesin ventilator. - Foto Bernama
Seramai 51 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 34 kes memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 17 kes lagi memerlukan mesin ventilator. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah kes harian Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 3,410 pada Khamis berbanding Rabu dengan 3,321 kes, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di seluruh negara sebanyak 4,470, 471 kes.

Daripada jumlah kes harian yang dilaporkan itu, sebanyak lima kes adalah kes import.

Berdasarkan portal CovidNow juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan sebanyak empat kes kematian dilaporkan pada Khamis dan tiada kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID) direkodkan.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini seramai 35,602 orang daripada lebih 4.4 juta kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.

Selain itu, sejumlah 26,826 kes aktif Covid-19 direkodkan di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, seramai 25,414 atau 94.7 peratus individu dikuarantin di rumah, manakala 33 individu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan 1,328 dimasukkan ke hospital.

Data itu juga menunjukkan sejumlah 51 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 34 kes memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 17 kes lagi memerlukan mesin ventilator.

Sementara itu, sejumlah 1,430 kes sembuh turut direkodkan pada Khamis, dengan kes kumulatif sembuh sebanyak 4,408,043 kes.