Jangan ambil mudah kesan long Covid-19

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar pada 10 Mei lalu memaklumkan berita gembira bahawa seramai 30 hingga 40 peratus pesakit yang mengalami simptom Covid-19 berpanjangan (long Covid) di negara ini dapat kembali bekerja dalam tempoh tiga bulan selepas dijangkiti.

Beliau berkata, sebanyak 60 hingga 70 peratus pesakit pula dapat kembali bekerja dalam tempoh enam bulan selepas dijangkiti.

Selain itu, katanya, lebih 4.4 juta individu sudah sembuh daripada jangkitan Covid-19 sejak ia melanda negara lebih dua tahun lepas. Namun ia mungkin permulaan kepada perjuangan yang panjang ke arah pemulihan sepenuhnya bagi segelintir individu.

Jujurnya, pengetahuan penulis mengenai long Covid hanya melalui bacaan dan penceritaan rakan-rakan yang pernah diserang virus Covid-19. Bagaimanapun, melihatkan mereka kembali bekerja seperti biasa, penulis kira mereka telah sembuh sepenuhnya. Wallahualam.

Namun, pulang beraya di kampung tempoh hari menyedarkan penulis betapa seriusnya kesan long Covid. Melihat perubahan yang ditunjukkan abang ipar yang merupakan bekas pesakit Covid-19, begitu mengejutkan. Daripada seorang yang aktif, bersemangat dan kreatif, dia menjadi pasif, susut tubuh badan, lesu, sensitif dan tampak murung.

Tidak berani bertanya kepada empunya tubuh, penulis merisik khabar melalui kakak. Ternyata apa yang diberitahu amat meruntun jiwa. Tiada lagi kedengaran arahannya untuk kami bergambar di pagi raya, tiada lagi bunyi ketikan kameranya yang sering merakam aksi dan suasana, sekali gus tiada gambar-gambar kreatif hasil seninya pada Aidilfitri ini.

Mungkin ramai sudah tahu dan mungkin juga ramai yang masih belum jelas tentang apa itu long Covid. Long Covid atau Post Covid Sydrome merupakan satu keadaan di mana bekas pesakit Covid-19 masih mengalami simptom. Rujukan antarabangsa NICE Guideline menyatakan pesakit Covid-19 berkemungkinan kekal mengalami beberapa simptom bagi tempoh 12 minggu atau lebih.

Antara simptom berpanjangan ialah kelesuan, sesak nafas apabila melakukan aktiviti tertentu, batuk, kesukaran tidur dan anxiety atau kebimbangan melampau.

Bagi bekas pesakit Covid-19 yang mengalami sindrom long Covid dinasihatkan supaya segera berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan atau hospital berhampiran untuk penilaian kesihatan.

Menurut Khairy dalam kenyataan sama, seramai 9,230 bekas pesakit Covid-19 telah menjalani rawatan perubatan rehabilitasi long Covid di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seluruh negara, setakat April lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,798 pesakit mendapatkan rawatan pesakit dalam dan 6,432 lagi pesakit luar.

Tambahnya, bagi menangani gejala long Covid dengan berkesan dan selamat, Kementerian Kesihatan Malaysia menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pasca Covid-19 Kebangsaan pada Julai 2021. Ia sebagai sumber rujukan dan melibatkan pelbagai disiplin kepakaran termasuk kesihatan primer, penyakit berjangkit, perubatan dalaman, nefrologi, kardiologi, respiratori, obstetrik, pediatrik, psikiatri dan perubatan rehabilitasi.

Pada pandangan penulis, walaupun telah banyak kajian dijalankan dan ubat yang diuji untuk merawat long Covid, namun gesaan KKM agar ibu bapa segera membawa anak-anak berumur lima hingga 11 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin perlu diambil serius. Apatah lagi 15 Mei ini adalah tarikh untuk mendapatkan suntikan vaksin secara percuma.

Vaksinasi kepada kanak-kanak dan remaja penting bagi mengelakkan mereka mendapat kesan berpanjangan yang dikhuatiri melarat sekiranya dijangkiti Covid-19.

Jelas pakar kanak-kanak yang juga Pengerusi Program Immunise4Life, Datuk Dr Zulkifli Ismail, sindrom long Covid berpotensi membawa kesan lebih mudarat menjadi sindrom keradangan multisistem dalam kanak-kanak (MIS-C).

Berdasarkan laporan di United Kingdom, katanya, satu daripada tujuh kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 mendapat simptom long Covid.

Sementara itu, menurut maklumat KKM setakat Januari lalu, laporan 14 jabatan pediatrik seluruh negara menyatakan bahawa terdapat 170 kes MIS-C melibatkan mereka berusia kurang 18 tahun. Daripada jumlah itu, 90 peratus daripadanya berumur kurang dari 12 tahun dan ada tujuh kematian dicatatkan.

Long Covid bukan perkara yang boleh diambil mudah. Walaupun kerajaan telah mengumumkan fasa peralihan ke endemik dan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP), bukan bermakna kita harus alpa.

Terus kekal jaga kesihatan diri, pakailah pelitup muka dan amalkan sanitasi untuk mengelak jangkitan Covid-19.

* Puperahaizad Darsono ialah Penyunting Sinar Harian