Teruskan projek infra rakyat, jadikan Malaysia negara maju

Najib pada program Debat Perdana bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di MATIC pada Khamis.
Najib pada program Debat Perdana bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di MATIC pada Khamis.
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya meneruskan projek infra-rakyat sebagai langkah 'reset' dengan matlamat menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi.

Menurut beliau, projek-projek tersebut boleh membawa kepada pembangunan ekonomi negara.

"Umpamanya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang telah dilewatkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

"Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Lebuhraya Pan Borneo, Transit Aliran Massa 3 (MRT 3), Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia.

"Bila bangunkan ekonomi negara, rakyat untung. Pekerjaan dapat disediakan dengan berjuta-juta bilangannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Debat Perdana yang julung kali menampilkannya bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini pada Khamis.

Debat ini mendapat kerjasama empat media iaitu Sinar Harian, Astro Awani, Sin Chew Daily dan Malaysia Gazette.

Debat Perdana itu menyentuh dua isu utama iaitu membabitkan persoalan sama ada syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia, Sapura Energy Berhad (SEB) perlu diselamatkan atau sebaliknya serta isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara

Cabaran debat itu tercetus selepas Najib dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung kewajaran bailout (menyelamatkan) SEB yang berdepan dengan masalah aliran tunai demi kepentingan strategik negara.