Banjir: 5,993 ketua isi rumah di Kuala Selangor terima bantuan RM2,500

Noh (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Banjir Kerajaan Persatuan di Dewan Dato' Penggawa di sini pada Khamis.
Noh (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Banjir Kerajaan Persatuan di Dewan Dato' Penggawa di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMASKINI] Seramai 5,993 ketua isi rumah (KIR) di daerah Kuala Selangor yang terkesan banjir Disember tahun lalu menerima bantuan barangan keperluan asas sebanyak RM2,500 pada Khamis.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, bantuan itu diberikan kepada mangsa banjir di daerah Kuala Selangor sebelum diagihkan kepada mangsa banjir di daerah lain dalam waktu terdekat.

Menurutnya, seramai 127,269 mangsa banjir Disember tahun lalu direkodkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri di negeri Selangor.

"Di peringkat ICU sedang menyusun pengagihan sumbangan di daerah lain di negeri ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Banjir Kerajaan Persekutuan di Dewan Dato' Penggawa di sini pada Khamis.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, pemberian sumbangan itu sudah tentu amat bermakna kepada penduduk yang terjejas banjir.

"Saya merakam jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah kerajaan Keluarga Malaysia yang menunaikan janji dan prihatin dengan mangsa banjir yang melanda negeri ini," katanya.

Beliau memberitahu, bantuan yang diagihkan itu adalah kali kedua disumbangkan kerajaan persekutuan selepas pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 sebelum ini.

Kata beliau, pengagihan BWI itu telah selesai diagihkan kepada KIR di seluruh negeri ini.

Noh turut memberitahu, kerajaan persekutuan juga bersetuju untuk menyalurkan bantuan baik pulih dan membina semula rumah yang rosak akibat banjir.

"Misalnya dua rumah di Kampung Bestari Jaya, kita memperuntukkan sebanyak RM60,000 setiap rumah yang dihanyutkan dan rosak akibat banjir.

"Malah kita juga telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada usahawan yang terjejas di negeri Selangor," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, seramai 287 penduduk membuat laporan polis berikutan kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di daerah Tanjong Karang pada Rabu.

Jelas beliau, ribut yang melanda kawasan itu disifatkan antara kejadian terburuk hingga sebahagian besar bumbung rumah penduduk diterbangkan angin.

Katanya, musibah itu bukan sahaja membabitkan kerosakan kediaman, malah turut melibatkan kawasan tanaman padi.

"Saya juga melihat kejadian ini juga cabaran kepada pesawah lebih-lebih lagi hanya tunggu masa untuk mendapatkan hasil pengeluaran," ujarnya.