Polis kenal pasti mayat dalam tangki air

Lokasi tangki air yang menemui mayat Ahad lalu.
A
A

JEMPOL - Individu yang ditemui mati dalam tangki air Palong 12 Ahad lalu telah telah dikenal pasti berdasarkan penemuan dompet pada pakaiannya selain dilaporkan hilang pada Julai tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, hasil pemeriksaan pada mayat lelaki berusia 22 tahun itu telah menjumpai dompet pada pakaiannya mengandungi kad pengenalan yang beralamat terakhir di Desa Keratong, Pahang.

"Semakan pada kad pengenalan mendapati lelaki itu dilaporkan hilang sepertimana Tun Razak 618/18 repot bertarikh 10 Julai 2018 yang di laporkan oleh ayahnya," katanya ketika mengesahkan laporan hari ini.

Muhd Nurhishamuddin berkata, penemuan mayat tersebut dilaporkan oleh pekerja Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) jam 5.40 petang Ahad lalu di Balai Polis Bandar Seri Jempol.

"Pekerja tersebut datang melawat tangki itu untuk melihat dan menyukat air dalam kolam agihan air.

"Berdasarkan siasatan awal, pemeriksaan terakhir yang dilakukan SAINS pada bulan Februari lalu tetapi tidak melihat ke dalam kolam agihan tersebut dan kali terakhir kerja mencuci dalam kolam agihan tersebut adalah pada bulan Oktober tahun lalu yang melibatkan jumlah takungan air bersih 800,000 gelen," katanya.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan mayat dilakukan semalam yang disertai oleh 10 anggota bomba dan penyelamat dari Unit Scuba dan telah keluarkan bahagian pinggang ke kaki jam 1.18 petang.

"Manakala bahagian cebisan dikeluarkan pada jam 2 petang.

"Seterusnya operasi dihentikan bagi tujuan pembuangan air dalam kolam agihan tersebut dan pada jam 6.10 petang, beberapa bahagian lain seperti tengkorak dan rahang serta beberapa tulang," katanya.

Beliau berkata, mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Jempol dan proses bedah siasat dilakukan hari ini bagi mengetahui punca kematian.

"Setakat ini kes ini klasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa mayat lelaki dalam tangki air

Semalam, Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata, pihaknya telah melakukan kerja penutupan tangki air tersebut sebaik sahaja mengetahui mengenai penemuan mayat dalam tangki milik SAINS itu.

Katanya, kolam SAINS adalah kawasan larangan dan sedia maklum ianya berkunci.

"Pada masa ini SAINS dalam usaha membersihkan semula kolam tersebut sebelum bekalan air dibekalkan kepada pengguna di kawasan terlibat.

"Pembersihan dilakukan termasuk membuang semua air dalam tangki tersebut dan menggantikan dengan air yang baru," katanya.

Kolam Palong 12 mempunyai kapasiti sebanyak 800,000 gelen dan dijangka bekalan air akan dipulihkan hari ini.