3rd INNOCOM 2018 cetuskan budaya inovasi dalam kalangan pelajar dan pendidik

A
A

ARAU - “3rd Innovation Competition 2018” yang telah dianjurkan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin,Perlis (PTSS) ini telah mencetuskan budaya inovasi dalam kalangan pelajar dan pensyarah di Institut Pendidikan Tinggi Awam dan juga pelajar sekolah. Ini adalah kerana pada tahun ini sebanyak 200 inovasi dari institusi pendidikan tinggi dan sekolah telah menyertai pertandingan yang diadakan ini berbanding tahun lepas hanya 129 penyertaan,” kata Hawariah Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana 3rd INNOCOM 2018 dalam ucapan aluannya ketika Perasmian Penutupan 3rd INNOCOM 2018 di Dewan Harumanis, PTSS, Perlis baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, ini merupakan Pertandingan Inovasi kali ketiga diadakan oleh PTSS dan peningkatan penyertaan ini telah memberikan gambaran yang baik terhadap usaha politeknik untuk membudayakan inovasi dalam kalangan pensyarah dan pelajar. Beliau juga percaya program ini merupakan satu inisiatif murni untuk menggalakkan dan mendedahkan pensyarah, guru dan pelajar tentang kepentingan penyelidikan dan inovasi.

3rd INNOCOM 2018 yang diadakan ini merupakan suatu usaha berterusan PTSS dengan sokongan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi menjadikan aktiviti inovasi sebagai nadi penggerak dalam melahirkan modal insan berkualiti dan kreatif dalam usaha melahirkan rekacipta terbaru serta terkini yang boleh digunapakai dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan juga memudahkan proses kerja dan aktiviti teknikal dalam penghasilan produk terbaru.

Program ini dianjurkan bagi menyediakan platform kepada staf, pensyarah dan penyelidik dari seluruh Malaysia untuk mempertandingkan inovasi terkini yang dihasilkan oleh mereka. Selain itu, program ini juga bertujuan menghimpunkan inovasi terkini yang telah dihasilkan pelajar institut pengajian tinggi, pensyarah, guru dan pelajar sekolah bagi berkongsi serta bertukar-tukar idea dan pengalaman daripada inovasi yang dihasilkan dan seterusnya memperkembangkan lagi jaringan hubungan sesama sendiri.

Projek Inovasi Buku Konvokesyen AR dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis.
Projek Inovasi Buku Konvokesyen AR dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis.

Menurut Abdul Malek Hassan, Pengarah PTSS yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dalam ucapan Perasmian Penutupan 3rd INNOCOM 2018 berkata, “Hari ini sains, teknologi dan inovasi adalah kunci kepada pembangunan negara maju dan mempunyai peranan dalam perkembangan sosio ekonomi negara. Seharusnya ianya perlu diperkukuhkan dan diarus perdanakan di semua peringkat dan bentuk peningkatan, inovasi dan pemikiran di luar kotak perlu digarap dan dimanfaatkan melalui penyertaan dalam 3rd INNOCOM 2018 ini”.

Katanya lagi, pertandingan ini sangat relevan dalam menjayakan inovasi negara selain menjadi wadah untuk memartabatkan inovasi di negara ini dan pertandingan ini mampu membantu negara mencapai hasrat sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Beliau juga berharap mekanisme yang dipertandingkan dalam 3rd INNOCOM 2018 akan dapat menyuburkan lagi budaya inovasi dan kreativiti di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan.

Daripada 200 penyertaan inovasi ini, PTSS memperolehi 19 Pingat Emas, 59 Pingat Perak dan 11 Pingat Gangsa. Pertandingan dipertandingkan mengikut kategori Process, kategori Young Inventor, kategori Teaching and Learning dan kategori Technical. Bagi kategori Process, pemenang pertama dengan markah paling tinggi dimenangi oleh Kolej Komuniti Sungai Petani, Kedah dengan inovasi bertajuk NFC Smart Tag, tempat kedua PTSS dengan tajuk inovasi Buku Konvokesyen AR dan tempat ketiga dimenangi oleh PTSS juga dengan tajuk inovasi Event Attendance System.

Pelajar Sek Keb LKTP Palong Timur, Johor sedang menerangkan projek inovasi mereka.
Pelajar Sek Keb LKTP Palong Timur, Johor sedang menerangkan projek inovasi mereka.

Bagi kategori Young Inventor, tempat pertama dengan markah tertinggi dimenangi oleh Sekolah Menengah Tengku Budriah,Perlis dengan inovasi bertajuk RWAEiM- Alarming System For The Driver To Prevent Children From Being Left In A Vehicle, tempat kedua dimenangi oleh Maktab Rendah Sains MARA Sultan Azlan Shah, Perak dengan tajuk inovasi i-Care dan tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Selamat, Pulau Pinang dengan tajuk inovasi Gallus Remedy Balm.

Bagi kategori Teaching and Learning, tempat pertama dengan markah tertinggi dimenangi oleh Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang dengan inovasi bertajuk Staff Workload Measurement (SWoM), tempat kedua oleh Kumpulan Aspirasi Guru Matematik Malaysia (KAGUMM) dengan inovasi bertajuk Happy Family Mathematics FDP dan tempat ketiga dimenangi oleh PTSS dengan inovasi bertajuk Lukisan Kejuruteraan Berbentuk Augmented Reality.

Bagi kategori terakhir, kategori Technical, tempat pertama dengan markah tertinggi dimenangi oleh SIRIM BERHAD dengan inovasi bertajuk Innovative Sensing Material For Minimizing in Ammonium Detection, tempat kedua dimenangi oleh Universiti Teknikal Melaka, Melaka dengan inovasi bertajuk Eco-Car Door Map Pocket dan tempat ketiga oleh universiti yang sama dengan inovasi bertajuk EaHo-Easy Hook.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Abdul Malek Hassan, Pengarah PTSS mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dengan tempat pertama mendapat Pingat Emas dan wang tunai RM600, tempat kedua mendapat Pingat Perak dengan hadiah wang tunai RM 400 dan tempat ketiga mendapat Pingat Gangsa dengan hadiah wang tunai RM 250. Hadiah-hadiah disampaikan mengikut kategori yang telah dipertandingkan.