Mahasiswa perlu diberi peluang luah pendapat

Daing Nasir
Daing Nasir
A
A
A

KUANTAN - Tindakan sekumpulan individu yang menyerang mahasiswa universiti sehingga berlaku pergelutan dilihat merosakkan nilai budi dan norma masyarakat Malaysia yang terkenal dengan budaya kesopanan dan kesusilaan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Seri Prof Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, mahasiswa institusi pendidikan tinggi perlu dibenarkan bersuara dan menyatakan pandangan.

Menurutnya, mereka seharusnya diberi peluang berhimpun secara aman.

“Saya kutuk apa juga keganasan yang berlaku di universiti. Bagi saya kebebasan bersuara dan berhimpun adalah sebahagian daripada pengalaman kampus selain memastikan ekosistem yang holistik dapat diwujudkan di universiti supaya ia menjadi suatu medan intelektual.

“Malah, UMP turut memberi ruang buat mahasiswa mengambil bahagian dalam perbincangan awam dan perbahasan menggunakan pelbagai platform untuk mereka bersuara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, bantahan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) bertukar kecoh apabila pihak universiti mengecam tindakan provokasi dan menyatakan sokongan kepada hak kebebasan bersuara penuntutnya.

Mengulas perkara itu, Dr Daing berkata, banyak platfrom yang boleh digunakan untuk mahasiswa meluahkan pendapat mereka termasuk melalui forum, bual bicara dan perbincangan intelektual.

Dalam pada itu, UMP menyambut baik gesaan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik untuk mendukung pendirian dan kebebasan mahasiswa selagi tidak bertentangan dengan undang-undang negara dan menepati peraturan universiti.

Artikel Berkaitan: