Penyakit HFMD menular di 19 taska, tadika di Terengganu

Kasemani (dua dari kanan) merasmikan Program Gerak Gempur Cakna Ubat di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di Hulu Terengganu, pada Rabu.
Kasemani (dua dari kanan) merasmikan Program Gerak Gempur Cakna Ubat di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di Hulu Terengganu, pada Rabu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) menular di 19 taska dan tadika di Terengganu menjadikan peningkatan jangkitan kepada 782 kes yang direkodkan sehingga 5 Mei lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 723 peratus berbanding hanya 95 kes yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya tiada premis yang ditutup kerana keadaan masih terkawal.

"Jangkitan tertinggi berlaku di Kuala Terengganu dan Setiu dengan masing-masing merekodkan sebanyak lima kes diikuti tiga kes di Marang dan Hulu Terengganu.

"Di daerah Besut, sebanyak dua kes HFMD direkodkan manakala satu kes direkodkan di Kemaman," katanya pada sidang akhbar selepas Program Gerak Gempur Cakna Ubat di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Kasemani meminta supaya pengurusan pusat jagaan kanak-kanak serta ibu dan bapa peka dengan situasi tersebut.

Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengekang jangkitan HFMD di negeri ini.

"Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak menghantar anak-anak yang mengalami gejala ke pusat jagaan untuk mengelak ia merebak kepada kanak-kanak laon.

"Pihak taska pula disarankan untuk tidak menerima kumpulan kanak-kanak berkenaan bagi mengelak jangkitan," katanya.

Kes HFMD di seluruh negara dilaporkan melonjak 12.8 kali ganda daripada 1,752 kes kepada 22,463 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wabak berkenaan banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak dibawah usia enam tahun iaitu sebanyak 21,508 kes (96 peratus), diikuti umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 729 kes (tiga peratus) dan selebihnya melibatkan individu berusia lebih 12 tahun.