[VIDEO] MN: Khairuddin dakwa ada pihak hanya mahu 'tubuh' tanpa 'kepala'

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kesilapan yang berlaku dalam pengurusan Muafakat Nasional (MN) perlu diperbetulkan sekiranya mahu gagasan kerjasama antara Pas dan UMNO diteruskan.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, antara kesilapan dilakukan ialah apabila ada pihak mengetepikan pimpinan utama parti seolah-olah mahukan 'badan' sahaja tanpa 'kepala'.

"Tidak wajar mengharapkan MN dibina kembali dengan mengetepikan pimpinan utama kedua-dua parti.

"Ibarat hanya diinginkan badan tanpa kepala. Inilah kesilapan dalam pengurusan MN sebelum ini. Ada pihak yang mahukan 'badan' sahaja tanpa 'kepalanya'," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.

Selain itu, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas itu berkata, antara syarat penting dalam perundingan kedua parti ialah tidak mencampuri urusan dalaman setiap parti.

"Biarkan masing-masing menguruskan parti mereka sendiri. Jangan diulangi kesilapan tahun 1978 apabila ada parti mencampuri urusan pemilihan parti yang menjadi rakan kerjasama menyebabkan ikatan kerjasama terburai.

"Sejarah pahit tidak wajar diulangi," katanya.

Jelas Mohd Khairuddin, kerjasama kedua parti itu masih mempunyai jalan untuk diselamatkan dengan syarat beberapa kesilapan perlu diperbetulkan dan sebarang keputusan perlu diputuskan secara bersama dan rasmi oleh kedua-dua pimpinan parti.

"Mesyuarat induk MN wajar dihidupkan semula. Pasukan perunding kerusi tidak wajar dihentikan sekerat jalan.

"Pas perlu memperakui bahawa UMNO beberapa kali memohon diteruskan rundingan kerusi tetapi Pas yang tidak melayan dan mengabaikan permohonan tersebut. Kesilapan ini perlu dibetulkan," katanya.

Menurutnya, perpaduan ummah antara Pas dan UMNO adalah harapan rakyat Malaysia berdasarkan bilangan ahli kedua-dua parti iaitu 3.2 juta (UMNO) dan 800,000 (Pas).

Justeru beliau menyifatkan ikatan perpaduan antara dua parti Melayu terbesar itu tidak wajar goyah dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang disifatkan mempunyai bilangan anggota yang kecil.

"Melihat sejarah pertembungan panjang dan pahit antara Pas dan UMNO menjarakkan hubungan persaudaraan dan mengorbankan tali silaturrahim kekeluargaan umat Melayu Islam melebihi 40 tahun.

"Buang yang keruh dan ambil yang jernih demi perpaduan umat Islam. Saya terus istiqamah dengan perjuangan untuk melihat kedua parti ini terus duduk bersama," ujarnya.

Kesilapan dalam Muafakat Nasional perlu diperbetulkan jika mahu kerjasama Pas dan UMNO diteruskan.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kesilapan dilakukan apabila ada pihak mengetepikan pimpinan utama seolah-olah mahukan 'badan' sahaja tanpa 'kepala'.

Baca artikel penuh di : https://bit.ly/3yplgHn

Muzik : www.bensound.com

#SinarHarian #BeritaSemasa

" />