Apabila VIP guna kedudukan untuk kepentingan diri, keluarga

Rakaman video berdurasi 20 saat yang dimuat naik pemilik akaun anwarazeez memaparkan seorang lelaki memandu kenderaan dengan diiringi dua anggota trafik menunggang motosikal polis.
Rakaman video berdurasi 20 saat yang dimuat naik pemilik akaun anwarazeez memaparkan seorang lelaki memandu kenderaan dengan diiringi dua anggota trafik menunggang motosikal polis.
A
A
A

MERAK Jalanan memang simpati dengan nasib yang menimpa dua anggota polis trafik yang terbabit mengiringi orang awam di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

Mereka kini ditempatkan di bahagian pentadbiran sementara menunggu siasatan terperinci selepas kertas siasatan dibuka berhubung rakaman video berdurasi 20 saat yang dimuat naik pemilik akaun anwarazeez itu memaparkan seorang lelaki memandu kenderaan dengan diiringi dua anggota trafik menunggang motosikal polis.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, siasatan dalaman mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi dikeluarkan pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang bagi tugasan mengiringi individu berkenaan pada hari terbabit.

Sementara di media-media sosial, warganet memang mengecam habis-habisan tindakan lelaki yang juga merupakan anak kepada seorang kenamaan atau VIP yang diiring oleh kedua-dua anggota polis trafik berkenaan.

Bagaimanapun, Merak Jalanan sebenarnya terjumpa dengan ahli keluarga VIP berkenaan di Lapangan Terbang Pulau Pinang pada petang Ahad.

Kesemua mereka kemudian dilihat memasuki sebuah bilik yang dikhaskan untuk VIP di lapangan terbang tersebut.

Jadi Merak Jalanan tertanya-tanya adakah semua ahli keluarga VIP itu dibenarkan untuk berada dalam bilik yang khas untuk tetamu kehormat sahaja dan mendapat layanan yang sangat istimewa.

Merak Jalanan bukan cemburu melihat mereka yang mendapat keistimewaan sebagai golongan VIP tetapi sebagai rakyat, Merak Jalanan merasakan bahawa keistimewaan yang mereka peroleh dan nikmati itu adalah daripada hasil daripada sokongan rakyat. Hormatilah kepercayaan rakyat.

Tidak wajarlah sekiranya mereka menggunakan kedudukan yang diperoleh daripada rakyat itu digunakan untuk kepentingan diri serta keluarga.