Kadar jenayah di PD menurun

Aidi Sham (tengah) bersama pengamal media Negeri Sembilan yang menerima sijil penghargaan semalam.
A
A

PORT DICKSON - Kadar jenayah di Port Dickson bagi tempoh tiga bulan pertama ini menunjukkan penurunan sebanyak 8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, sebanyak 102 kes jenayah direkodkan sepanjang Januari hingga 23 Mac lalu, berbanding tempoh yang sama sebanyak 111 kes pada 2018.

Menurutnya, bagi jenayah kekerasan menurun sebanyak 16 kes berbanding tempoh yang sama pada 2018 adalah sebanyak 28 kes.

"Kadar jenayah kekerasan di daerah ini menunjukkan penurunan ketara iaitu sebanyak 43 peratus atau 12 kes jika dibandingkan tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Bagaimanapun, bagi jenayah harta benda ada berlaku kenaikan sebanyak tiga kes apabila pada tahun ini sebanyak 86 kes dilaporkan berlaku berbanding 83 kes tahun sebelumnya.

"Pasukan kita akan terus berusaha dan bergiat aktif untuk membanteras jenayah di kawasan setempat, bagi memastikan aktiviti jenayah dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Polis peringkat Daerah Port Dickson di pekarangan Pekan Port Dickson, semalam.

Aidi Sham berkata, bagi tangkapan pesalah jenayah, seramai 313 tangkapan atas pelbagai kesalahan, termasuk jenayah narkotik dan komersial.

Dalam pada itu, Adli berkata, buat julung kalinya, Majlis Sambut Peringatan Hari Polis IPD Port Dickson dilakukan di luar daripada balai polis.

"Ini bertujuan mendekatkan masyarakat dengan pihak berkuasa selari dengan tema kita, Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia