Kesal video lama pukul pengawal keselamatan kembali tular

Rakaman video beberapa lelaki yang memukul seorang pengawal keselamatan di sebuah hospital di Kelantan pada tahun 2015 kembali tular pada Ahad lalu. Gambar Kecil: Dr Izani
Rakaman video beberapa lelaki yang memukul seorang pengawal keselamatan di sebuah hospital di Kelantan pada tahun 2015 kembali tular pada Ahad lalu. Gambar Kecil: Dr Izani
A
A
A
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan kesal dengan tindakan masyarakat yang menularkan semula video lama membabitkan kejadian seorang pengawal keselamatan dipukul sekumpulan lelaki di sebuah hospital di negeri ini sejak pagi Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, tindakan menularkan semula kejadian pada tahun 2015 itu boleh menjejaskan imej hospital berkenaan dan negeri Kelantan.

Beliau berkata, masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab untuk menilai dan merujuk kepada pihak berautoriti sebelum bertindak menularkan semula sesuatu rakaman video yang boleh menjejaskan imej banyak pihak.

“Video itu adalah video lama dengan semua tindakan sudah diambil dan kes juga sudah selesai serta tidak berulang lagi selepas itu.

“Jadi, kalau menviralkan perkara yang sudah selesai bererti kita menghidupkan sesuatu yang sudah tidak berlaku lagi dan itu memberi imej yang tidak molek kepada hospital serta negeri. Tidak sepatutnya ditularkan semula, banyak berlaku pada masa kini tular video yang lama-lama,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Aidilfitri di pejabatnya di Kota Darul Naim pada Selasa.

Pada Ahad, tular semula rakaman berdurasi seminit 26 saat membabitkan kejadian beberapa pelawat yang menyerang seorang pengawal keselamatan pada tahun 2015 di sebuah hospital di negeri ini.

Justeru, Izani menasihatkan kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya menularkan sesuatu video yang diperoleh sebaliknya perlu diselidik kesahihannya terlebih dahulu.

“Apabila mendapat video-video yang sedemikian, kita tidak sepatutnya terus menviralkan perkara tersebut tetapi ambil tanggungjawab untuk menilai dan merujuk ke pihak-pihak berautoriti.

“Jika tidak, tindakan itu boleh memberi kesan negatif kepada pihak-pihak yang terlibat,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut berlaku pada tahun 2015 dan kes selesai.

“Saya nasihatkan kepada orang awam supaya tidak tularkan sesuatu perkara tanpa diperiksa terlebih dahulu,” katanya.