2,246 kes baharu Covid-19, satu kematian direkodkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kes harian Covid-19 yang dilaporkan pada Isnin menunjukkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 2,246 kes berbanding Ahad, 2,153 kes.

Daripada jumlah kes harian yang dilaporkan itu, 2,241 adalah kes tempatan, manakala lima lagi adalah kes import.

Berdasarkan portal CovidNow juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan hanya satu kes kematian dilaporkan pada Isnin, malah tiada kes kematian berlaku di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID).

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini seramai 35,584 orang daripada lebih empat juta kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.

Selain itu, sejumlah 22,368 kes aktif Covid-19 direkodkan di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, seramai 21,230 atau 94.9 peratus individu dikuarantin di rumah, manakala empat individu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan 1,065 dimasukkan ke hospital.

Data itu juga menunjukkan sejumlah 69 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 39 memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 30 kes lagi memerlukan mesin ventilator.

Sejumlah 2,433 kes sembuh turut direkodkan pada Isnin.