58,182 pandu laju, langgar lampu merah semasa Aidilfitri

Zailani (dua dari kanan) memeriksa lesen seorang penunggang motosikal di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Pasir Pekan, Tumpat.
Zailani (dua dari kanan) memeriksa lesen seorang penunggang motosikal di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Pasir Pekan, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Seramai 58,182 pengguna jalan raya dikesan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah menerusi rakaman kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dalam tempoh Operasi Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2022 yang dilaksanakan di seluruh negara setakat Sabtu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, jumlah saman AwAS itu direkodkan bermula 18 April lalu menerusi 45 kamera yang ditempatkan di lokasi terpilih di seluruh negara.

Katanya, tidak mematuhi had laju dan melanggar isyarat lampu melalui kamera AwAS adalah antara lima kesalahan utama dalam tempoh Ops HRA 2022 yang akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun.

“Sekiranya disabitkan bagi setiap kesalahan itu, pemandu berkenaan boleh didenda sehingga RM2,000 mengikut Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu yang melakukan kedua-dua kesalahan ini akan direkodkan dengan tindakan sehingga empat mata demerit berjadual di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) bagi setiap kesalahan mengikut Subseksyen 40(1) atau Subseksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya dalam sidang akhbar pada sekatan jalan raya (SJR) Op HRA di Jalan Kota Bharu - Pasir Pekan, di sini pada Ahad.

Operasi tersebut disertai 91 anggota dan pegawai JPJ, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ujarnya, sistem mata demerit berkenaan akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

“Dalam Op HRA 2022 sehingga semalam, sejumlah 89,490 kenderaan diperiksa dan 16,377 saman dikeluarkan secara terus membabitkan pelbagai kesalahan.

“Bagi kesalahan kenderaan berat yang ingkar perintah larangan pula sebanyak 97 kes manakala sejumlah 245 aduan diterima menerusi e-aduan@JPJ daripada pengguna jalan raya yang memiliki kamera papan pemuka pada kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, Op HRA 2022 tersebut berakhir pada jam 12.01 tengah malam tadi, namun kempen keselamatan jalan raya dan penguatkuasaan akan diteruskan oleh pihaknya.

“JPJ akan memastikan tahap pematuhan orang awam terhadap peraturan dan undang-undang terus ditingkatkan supaya keadaan jalan raya di seluruh negara akan sentiasa selamat kepada semua pengguna.

“JPJ mahu merealisasikan sasaran pengurangan minimum 50 peratus jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya menjelang tahun 2030 terutama membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal,” katanya.