Sila log masuk terlebih dahulu.

UMK komersial produk kunyit hitam

Dr Wan Mohd Faizal (kanan) melihat ekstrak kunyit hitam yang dihasilkan.
Dr Wan Mohd Faizal (kanan) melihat ekstrak kunyit hitam yang dihasilkan.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT) giat membangunkan Projek Perintis Ladang Agroforestry berkaitan produk kesihatan berasaskan kunyit hitam yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

Ketua Projek Perintis Ladang Agroforestry UMK, Pensyarah Kanan FBKT, Profesor Madya Dr Wan Mohd Faizal Wan Ishak berkata, projek mengkomersialkan kunyit hitam atau nama saintifiknya 'kaempfiera parviflora' itu dilakukan dengan kerjasama pasukan penyelidik dari Syarikat Magical Wisdom Sdn Bhd di bawah bimbingan Dr Fung Fwei Chong.

Menurutnya, menyedari potensi besar tumbuhan herba itu pihak UMK dan Magical Wisdom mengusahakan sebanyak 200,000 anak benih kunyit hitam yang di tanam secara organik tanpa menggunakan baja kimia.

“Setiap pokok dirawat dengan agen kawalan bakteria bagi mengawal anak pokok dari serangan kulat, serangga dan ulat daun serta sebagai agen pembajaan biologi bagi memastikan anak-anak pokok kekal sihat, menerima mineral yang diperlukan serta mempercepatkan pertumbuhan.

“Selain itu, tanah yang digunakan juga dirawat dengan agen bioremediasi supaya bebas dari racun kimia hidrokarbon dan logam berat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dr Wan Mohd Faizal berkata, kunyit hitam adalah spesis tumbuhan herba perubatan dari jenis halia dan digunakan sebagai ubat tradisional sejak zaman dahulu.

Pokok kunyit hitam yang di tanam secara organik tanpa menggunakan baja kimia oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Pokok kunyit hitam yang di tanam secara organik tanpa menggunakan baja kimia oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Hasil kajian saintifik yang dijalankan oleh penyelidik pada 2021 menemukan banyak potensi dan kelebihan ekstrak kunyit hitam terhadap kesihatan manusia yang boleh dikomersialkan.

Artikel Berkaitan:

“Antaranya dapat meningkatkan metabolisma sel badan, anti kanser, pengenduran saluran darah, perlindungan jantung, peningkatan aktiviti seksual, perlindungan saraf, anti alahan (alergic) dan anti bakteria,” katanya.

Tambah beliau, kunyit hitam mempunyai dua bahan aktif iaitu bioflavonoid dan methoxyflavones yang sangat tinggi dan sangat diperlukan oleh badan manusia untuk memperbaiki sistem tubuh dan memberi kesan pemulihan yang cepat.

“Tidak hairan jika kunyit hitam ini diberikan jolokan viagra semula jadi kerana kandungan bahan aktif yang terdapat pada kunyit hitam ini tidak terdapat pada halia lain dan sekiranya ada pada makanan atau herba lain kemungkinan jumlahnya adalah terhad serta agak kecil.

“Tumbuhan kunyit hitam di Malaysia agak sukar diperoleh menjadikan pokok itu tidak begitu popular seperti tanaman herba lain kerana berasal dari Thailand dan Kemboja serta lazimnya di import dari luar negara seperti Thailand, Taiwan dan India,” katanya.

Beliau berkata, harga kunyit hitam agak mahal dan mampu mencecah RM500 sehingga RM1,000 sekilogram selain penanamannya di Malaysia masih agak terhad kerana mudah terdedah serangan penyakit.

“Penghasilan produk kesihatan dengan pengambilan kunyit hitam ini akan diseimbangkan dengan campuran madu tualang, stevia, gingko biloba dan maca dalam bentuk jus minuman.

“Kajian menunjukkan 100 peratus pengguna memberikan maklum balas positif terhadap kesan penggunaan kunyit hitam seawal empat hari,” jelasnya.