Remaja maut motosikal bertembung kereta

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di Sauk, Kuala Kangsar. - Foto ihsan pembaca
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di Sauk, Kuala Kangsar. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 73, Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Sauk di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 11.40 malam itu, mangsa, Muhammad Nashrullah Azhary, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss mengalami patah pergelangan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, berdasarkan maklumat diterima, kemalangan melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki empat pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Menurutnya, siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan kereta terbabit cuai memotong hingga memasuki laluan bertentangan.

"Siasatan awal mendapati kereta dalam perjalanan dari arah Gerik menuju ke Kuala Kangsar dipercayai cuba memotong kenderaan lain dengan masuk ke laluan bertentangan

"Kedua-dua motosikal pula dari arah Kuala Kangsar menuju ke arah Gerik. Motosikal pertama nampak kereta memasuki laluannya telah mengelak ke kiri namun bergesel pada bahagian sisi kanan kereta sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.

"Namun, mangsa yang menunggang dibelakangnya tidak sempat mengelak lalu bertembung pada bahagian hadapan kereta terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Omar Bakhtiar berkata, mangsa di sahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal telah mendapat rawatan lanjut di Hospital Kuala Kangsar.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

"Pemandu kereta berusia 22 tahun yang cedera ringan di jari telunjuk ditahan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.