Lima pemandu mabuk ditahan

Salah seorang daripada lima individu yang ditahan dalam operasi berkenaan kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.
Salah seorang daripada lima individu yang ditahan dalam operasi berkenaan kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan lima lelaki tempatan dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi dijalankan di sekitar bandar raya ini pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 47 tahun.

“Menerusi pelaksanaan Op Mabuk sempena Op Selamat 18/2022, polis telah mengesan seramai lima individu yang mana didapati memandu melebihi paras alkohol dibenarkan.

“Bagi kesalahan ini, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh memperuntukkan denda maksimum RM30,000 jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Rupiah berkata, kesalahan memandu dalam keadaan mabuk itu merupakan kesalahan serius kerana melibatkan keselamatan pengguna jalan raya lain sekali gus tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak melanggarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, menerusi operasi sama, seramai 81 individu dan 60 kenderaan telah diperiksa.

“Kita akan sentiasa melaksanakan pemguatkuasaan ini dengan tegas bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya lain sekali gus terhindar daripada sebarang bencana terutama melibatkan pemandu mabuk.

“Pengguna jalan raya juga diingatkan untuk sentiasa fokus semasa pemanduan dan tidak mematuhi undang-undang telah ditetapkan,” katanya.