JPJ kesan pemandu bas memandu sambil makan

Objektif penguatkuasaan JPJ melalui penyamaran sebagai penumpang bas bagi memastikan pemandu bas mematuhi undang-undang yang ditetapkan selain meningkatkan 'perception of being cought' dalam kalangan pemandu. Foto JPJ Pahang
Objektif penguatkuasaan JPJ melalui penyamaran sebagai penumpang bas bagi memastikan pemandu bas mematuhi undang-undang yang ditetapkan selain meningkatkan 'perception of being cought' dalam kalangan pemandu. Foto JPJ Pahang
A
A
A

KUANTAN - Makan sambil memandu dengan sebelah tangan memegang bekas dan sebelah lagi menyuap makanan antara perbuatan tidak bertanggungjawab dilakukan pemandu bas yang dikesan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, pada Khamis lalu.

Kesalahan dilakukan pemandu bas dalam perjalanan dari Muadzam Shah menghala ke Kuantan itu dikesan pegawai JPJ Pahang yang melakukan penyamaran sebagai penumpang sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 di beberapa lokasi di negeri ini.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang bahaya kepada penumpang itu dikesan ketika bas berada di Batu 10, Jalan Kuantan-Gambang di sini.

Menurutnya, bagi kesalahan itu, pemandu terbabit telah diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Melalui operasi penyamaran sebagai penumpang bas melibatkan laluan Kuantan-Temerloh dan Muadzam Shah-Kuantan itu turut mengesan beberapa kesalahan lain.

"Antaranya pemandu bas tidak mematuhi waktu operasi, enggan memberi kerjasama kepada pegawai JPJ, gagal pamer dan mengemukakan lesen pengendali," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Kamarul Iskandar berkata, bagi kesalahan itu, pihak-pihak terlibat telah diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987, Kaedah- Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 dan di bawah APAD 2010.

Lori membawa muatan bahan binaan yang disita selepas dikesan beroperasi dalam tempoh larangan penggunaan kenderaan berat di LPT1 pada Sabtu. Foto JPJ Pahang.
Lori membawa muatan bahan binaan yang disita selepas dikesan beroperasi dalam tempoh larangan penggunaan kenderaan berat di LPT1 pada Sabtu. Foto JPJ Pahang.

"Sepanjang Ops HRA 2022 sebanyak 14 pasukan penyamaran telah digerakkan di negeri ini.

"Selain untuk memastikan pemandu bas mematuhi undang-undang yang ditetapkan, objektif penguatkuasaan melalui penyamaran sebagai penumpang bas juga adalah untuk meningkatkan 'perception of being cought' dalam kalangan pemandu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, JPJ Pahang turut menahan dan mengambil tindakan terhadap pemandu sebuah lori yang membawa muatan bahan binaan selepas dikesan beroperasi dalam tempoh larangan penggunaan kenderaan berat di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini pada Sabtu.

Menurutnya, atas kesalahan itu pemandu terlibat dikenakan tindakan saman manakala lori disita untuk tindakan lanjut.

"Larangan penggunaan kenderaan berat sempena perayaan Aidilfitri dikuatkuasakan pada tarikh 30 April, 1, 2, 7 dan 8 Mei lalu.

"Peraturan yang ditetapkan itu sebagai salah satu usaha bagi mengurangkan kadar kemalangan dan mengurangkan kesesakan ketika musim perayaan," katanya.

Tambah beliau, pengusaha dan pemandu kenderaan barangan diingatkan agar sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan saban tahun.

"Perbuatan mementingkan diri seperti itu akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain," ujarnya.