Masalah bekalan air jejas aktiviti Syawal

Rizwan Sazri Azizan cuba membuka paip air di sebuah masjid di Tebengau di sini. (Gambar kecil dari kiri, Mohd Fitri, Abdul Rahim)
Rizwan Sazri Azizan cuba membuka paip air di sebuah masjid di Tebengau di sini. (Gambar kecil dari kiri, Mohd Fitri, Abdul Rahim)
A
A
A

KUALA KEDAH - Masalah gangguan bekalan air dikhuatiri menjejaskan aktiviti penduduk di beberapa kawasan di Kuala Kedah, di sini, terutamanya pada bulan Syawal tahun ini.

Antara kawasan dikhuatiri terlibat termasuklah pesisir pantai mukim Tebengau, Kuala Kangkong dan Kuala Sala.

Penduduk, Rizwan Sazri Azizan, 36, memberitahu, gangguan bekalan air sering terjadi terutamanya di kawasan pesisir pantai Tebengau sejak beberapa tahun lepas.

"Bagaimanapun, situasi makin ketara ketika sambutan Aidilfitri menyebabkan ratusan kediaman termasuklah masjid di kawasan ini dikhuatiri terputus bekalan air.

"Waktu siang memang air tidak ada, apabila malam barulah air ada, itu pun dalam tempoh sekejap sahaja hingga mengganggu aktiviti Syawal seisi keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah Rizwan, masalah gangguan bekalan air masih berlarutan meskipun telah memasuki Syawal keenam.

Bagi seorang lagi penduduk, Mohd Fitri Mohd Shukor, 29, berkata, kegembiraannya menyambut Syawal tahun ini sedikit sebanyak terganggu dengan isu bekalan air.

Mohd Fitri
Mohd Fitri

"Disebabkan masalah gangguan bekalan air, sambutan hari raya yang diharapkan meriah menjadi sedikit kurang seronok," katanya.

Ujarnya berharap, pihak bertanggungjawab dapat melaksanakan pemasangan pam penggalak bagi mengatasi isu bekalan air di kawasan hujung saluran bekalan air terbabit.

"Sebelum ini, kawasan daratan Tebengau juga mengalami masalah bekalan air, namun masalah penduduk di situ dipercayai selesai selepas pam penggalak dipasang.

"Jadi, kami harap tindakan sama dilakukan di kawasan pesisir Tebengau demi membolehkan masalah bekalan air ditangani dan dipulihkan segera," jelasnya.

Menurut penduduk Tebengau yang juga nelayan, Abdul Rahim Ahmad, 47, berasa amat letih apabila terpaksa menadah air menggunakan tong pada malam hari.

Abdul Rahim memberitahu, cukup terkesan dengan keadaan itu terutamanya ketika Syawal kerana perlu bermandi peluh mengangkut air bagi memastikan bekalan cukup untuk kegunaan harian mereka.

Abdul Rahim
Abdul Rahim

"Penat jugalah, tengah malam angkut air untuk digunakan keesokkan harinya dan kemudian keluar bekerja pula," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung masjid di Tebengau, Mohd Salleh Othman, 60, turut menyatakan air di masjid juga mengalami masalah sama ketika singgah untuk menunaikan solat Zohor.

"Sebelum ini, saya ada pergi kawasan Taman Bersatu dan mendapati kawasan itu tidak ada air. Jadi, tidak sangka sebelah Tebengau turut berdepan situasi sama," katanya.

Dia kemudiannya menggunakan air dari kolam yang ada di hadapan masjid untuk menunaikan solat.