'Kenapa selepas dua tahun baru Muhyiddin buka cerita?' - Shahril

Shahril Sufian mempersoalkan pendedahan Muhyiddin yang mendakwa Ahmad Zahid meminta bantuannya untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah hanya selepas dua tahun perkara itu berlaku.
Shahril Sufian mempersoalkan pendedahan Muhyiddin yang mendakwa Ahmad Zahid meminta bantuannya untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah hanya selepas dua tahun perkara itu berlaku.
A
A
A

SHAH ALAM – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan melihat kejayaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memimpin parti yang telah jatuh sehingga berjaya dalam tempoh singkat menyebabkan ada pihak yang tidak senang duduk, sehingga melempar pelbagai tuduhan dengan niat menjatuhkan.

Beliau merujuk kepada tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Ahmad Zahid meminta bantuannya untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah.

Justeru, Shahril mempersoalkan mengapa perkara tersebut ditimbulkan hanya selepas dua tahun.

“Jika perkara ini berlaku pada permulaan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti didakwa, kenapa beliau hanya buka cerita ini semasa tempoh Pilihan Raya Negeri Johor? Iaitu dua tahun selepas tertubuhnya kerajaan PN dahulu.

“Kenapa hanya apabila ditekan oleh UMNO, keluarkan cerita sebegini? Hingga mengguna saluran utama untuk keluarkan dakwaan tersebut setelah tiada lagi kepentingan dengan UMNO? Kenapa tak dari awal?

“Inilah yang dimaksudkan peribahasa terhimpit hendak di atas, terkurung hendak di luar. Tidak mahu mengambil tanggungjawab atas ketidakikhlasan berkawan dengan UMNO. Bila UMNO bantu pinjamkan majoriti, tiada bunyi. Bila nampak UMNO tak lagi mahu bersama, lain pula,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Media melaporkan menerusi dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April lepas, Muhyiddin, 74, mendakwa Ahmad Zahid, 69, telah menunjukkan sejumlah fail yang banyak berkaitan kes jenayahnya dan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah.

Ia merupakan afidavit jawapan terhadap permohonan injunksi yang difailkan oleh Ahmad Zahid dalam saman fitnah berhubung dakwaan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah meminta bantuan Muhyiddin untuk menyelesaikan atau menangguhkan kes mahkamahnya.

Tambah Shahril, Ahmad Zahid sudah berkali-kali mengatakan mahu membersihkan nama melalui proses mahkamah.

“Walaupun ditekan pelbagai pihak sejak 2018, Ahmad Zahid telah membawa kejayaan-kejayaan dalam tempoh singkat yang tak terbayang dek akal sewaktu mula-mula pasca PRU14.

“Maka, lawan parti akan sentiasa tidak senang duduk, melempar pelbagai tuduhan dengan niat menjatuhkan, meskipun beliau tidak pun disabitkan apa-apa kesalahan lagi,” katanya.