Lapan lelaki ditahan, bergaduh kerana beg sandang hilang

Mohamad Farouk
Mohamad Farouk
A
A
A

AMPANG - Salah faham tentang kehilangan beg sandang disyaki punca pergaduhan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah rumah di Bukit Antarabangsa di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima panggilan berhubung insiden pergaduhan itu pada jam 12.25 tengah malam.

Menurutnya, setibanya di lokasi, polis mendapati lapan lelaki sedang bertengkar dan dua daripadanya cedera.

"Kesemua individu berusia 20 hingga 25 tahun itu telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Hulu Klang untuk tindakan lanjut.

"Punca kejadian adalah salah faham berkenaan kehilangan beg sandang dan semasa perbincangan telah berlaku pergaduhan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, tiga suspek telah direman empat hari bermula Jumaat hingga Isnin bagi membantu siasatan.

"Lima lagi lelaki telah diberi jamin dan kes disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.