Aidilfitri bermakna buat Noor Herra

Zulkifli bertanya khabar Noor Herra Hardiana ketika berkunjung ke rumah ibu tunggal berkenaan baru-baru ini. (Gambar kecil : Laporan Sinar Harian berkenaan kisah Noor Herra Hardiana.)
Zulkifli bertanya khabar Noor Herra Hardiana ketika berkunjung ke rumah ibu tunggal berkenaan baru-baru ini. (Gambar kecil : Laporan Sinar Harian berkenaan kisah Noor Herra Hardiana.)
A
A
A

SEREMBAN - Aidilfitri kali ini boleh dianggap paling bermakna buat ibu tunggal, Noor Herra Hardiana Badri, 37, dan anaknya Muhammad Danish Riza Hadi, 6, apabila penantiannya untuk memiliki unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) tercapai.

Selepas enam kali menghantar surat rayuan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Menteri Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan kisahnya dilaporkan akhbar Sinar Harian, dia kini lega dapat berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa.

Menurutnya, dia membuat permohonan rumah PPR pada Januari tahun lalu dan dilaporkan Sinar Harian awal Januari ini.

"Pihak MBS memanggil saya untuk temu duga dan beberapa hari sebelum hari raya, saya telah berpindah masuk ke rumah baharu.

"Alhamdulillah saya tidak lagi terbeban dengan hutang rumah sewa sebelum ini yang agak tinggi iaitu RM550 sebulan.

Sekarang saya hanya perlu membayar sewa RM150 sebulan," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan daripada Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed baru-baru ini.

Noor Herra Hardiana dan anaknya melihat Zulkifli (kanan) memasang set meja makan
Noor Herra Hardiana dan anaknya melihat Zulkifli (kanan) memasang set meja makan

Menurutnya, kini boleh memberi fokus untuk membesarkan anaknya dan menambah pendapatan dengan menjual kerepek secara dalam talian.

Ujarnya, persekolahan anaknya juga ditaja oleh seorang individu selepas dilaporkan Sinar Harian.

"Dulu hidup saya agak tertekan dan banyak kali terpaksa meminjam duit dengan ibu untuk membayar sewa dan bil utiliti kerana tak berkemampuan.

"Sekarang saya bersyukur sangat kerana sudah boleh berjimat apabila sewa rumah tidak lagi terlalu tinggi. Terima kasih kepada semua yang membantu," katanya.

Noor Herra Hardiana mengakui banyak kesan positif berbanding negatif selepas kisahnya dipaparkan dalam surat khabar sehingga tular di media sosial.

Katanya, kini mahu meneruskan hidup dalam keadaan lebih tenang.

Sementara itu Zulkifli menyifatkan pemberian rumah PPR sebagai hadiah Aidilfitri buat ibu tunggal berkenaan tepat pada waktunya.

"Terima kasih kepada pihak kerajaan negeri melalui MBS yang telah selesaikan kes ini dan saya percaya ia sangat memberi kelegaan kepada dua beranak ini," katanya.