Kurniaan SPMJ, kukuhkan persahabatan Johor - Singapura

Sultan Ibrahim (kanan) beramah mesra bersama Hsien Loong selepas Majlis Istiadat Pengurniaan SPMJ di Istana Besar Johor pada Jumaat. Foto: Ihsan Royal Press Office
Sultan Ibrahim (kanan) beramah mesra bersama Hsien Loong selepas Majlis Istiadat Pengurniaan SPMJ di Istana Besar Johor pada Jumaat. Foto: Ihsan Royal Press Office
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kurniaan darjah kebesaran Istana Johor kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong disifatkan sebagai lambang persahabatan erat antara Johor dan Singapura sejak sekian lama.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pengurniaan darjah kebesaran itu juga merupakan pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.

“Hubungan Johor dan Singapura terjalin sekian lama dan pengurniaan darjah kebesaran tertinggi dari Istana Johor ini terus mengukuhkan hubungan dua hala.

“Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura diatas peranan beliau selama ini dalam terus mengeratkan hubungan Singapura dan Johor,” titah Baginda Sultan Johor dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Pada Jumaat, Sultan Ibrahim, berkenan mengurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk kepada Hsien Loong.

Kurniaan tersebut menyaksikan Hsien Loong menjadi antara pemimpin republik berkenaan pernah menerima darjah tertinggi Istana Johor selain bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew yang dikurniakan SPMJ pada 9 April 1984 bersempena Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-52 Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Majlis Istiadat yang diadakan di Istana Besar Johor di sini itu turut menyaksikan Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) kepada isteri Hsien Loong, Ho Ching yang membawa gelaran Datin Paduka.

Turut berangkat pada istiadat itu, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.