Rejim Zionis biadab cemari kesucian al-Aqsa

Penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel yang mengiringi sekumpulan pelampau Yahudi di Haram al-Sharif. - Foto: AFP
Penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel yang mengiringi sekumpulan pelampau Yahudi di Haram al-Sharif. - Foto: AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - Insiden pertempuran kembali tercetus di perkarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) di kota lama Baitulmaqdis pada Khamis selepas 10 hari situasi agak tenang di kawasan masjid ketiga paling suci tersebut.

Kejadian itu berlaku selepas sekumpulan pelampau Yahudi diiringi rejim Zionis menceroboh masuk ke kawasan Haram al-Sharif dan provokasi melampau itu telah mencetuskan kemarahan penduduk Palestin yang kemudiannya bertindak membaling batu dan pelbagai objek ke arah anggota keselamatan berkenaan.

Rancangan jahat itu dikatakan telah diuar-uarkan terlebih dahulu dan dianggap sebagai pengiktirafan kepada ‘Hari Kemerdekaan’ Israel malah ekstremis Yahudi turut menggesa penduduk Israel meraikan acara berkenaan di kawasan Haram al-Sharif yang menjadi pusat konflik sejak pertengahan Ramadan lalu.

Rejim Zionis bertindak biadab mengunci pintu masuk al-Aqsa selepas konflik baharu tercetus. - Foto: AFP
Rejim Zionis bertindak biadab mengunci pintu masuk al-Aqsa selepas konflik baharu tercetus. - Foto: AFP

Pada Selasa, polis Israel bertindak biadab dengan melarang laungan azan Isyak untuk menyanyikan lagu kebangsaan dan menaikkan bendera bagi memperingati Hari Memperingati Holocaust yang berlangsung di Tembok Buraq (Tembok Barat).

Menteri Hal Ehwal Agama dan Ketua Wakaf Islam, Sheikh Hatem al-Bakri berkata, polis rejim Zionis juga merampas wayar audio di al-Aqsa untuk menghalang mereka menunaikan solat.

“Kejadian itu boleh dijelaskan sebagai cubaan untuk mencetuskan perang agama,” ujarnya yang menggesa komuniti antarabangsa untuk bertindak segera bagi memelihara warisan Islam dan menghalang serangan tidak wajar ke atas masjid yang menjadi kiblat pertama Muslim.

Konflik baharu itu berlaku ketika penduduk Palestin bakal menyambut Hari Nakba (Malapetaka) pada 15 Mei ini untuk memperingati pengusiran lebih 700,000 penduduk Palestin yang membawa kepada penubuhan negara Israel pada 1948. - Agensi

Info:

Sejak pertengahan Ramadan lalu, hampir 300 cedera dalam kejadian pertempuran ganas di Haram al-Sharif.

Sebelum ini, Menteri Luar Israel, Yair Lapid beri jaminan kononnya Israel tidak akan mengubah status quo al-Aqsa.

Pada minggu lalu, pemerintah Hamas beri amaran akan bertindak tegas jika rejim Zionis berterusan melakukan pencerobohan ke atas perkarangan al-Aqsa tersebut.