Dua pengunjung pantai disengat obor-obor ketika mandi

Pasukan penyelamat pantai APM memberi rawatan awal kepada lelaki yang disengat obor-obor di Pantai Bukit Keluang, Besut pada Selasa lalu. - Foto APM Besut
Pasukan penyelamat pantai APM memberi rawatan awal kepada lelaki yang disengat obor-obor di Pantai Bukit Keluang, Besut pada Selasa lalu. - Foto APM Besut
A
A
A

BESUT – Kegembiraan seorang lelaki dan kanak-kanak perempuan mandi-manda bersama keluarga di Pantai Bukit Keluang, di sini sempena cuti Hari Raya Aidilfitri tidak bertahan lama apabila mereka disengat obor-obor merah pada Selasa lalu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, kejadian pertama dilaporkan berlaku pada jam 2.30 petang melibatkan kanak-kanak berusia lapan tahun berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Menurutnya, empat jam kemudian seorang lelaki berusia 32 tahun pula disengat obor-obor tersebut yang juga dikenali sebagai Irukandji.

“Kedua-dua mangsa menunjukkan simptom kemerahan pada kawasan kulit akibat terkena sengat obor-obor dan penyelamat pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di lokasi kejadian bertindak memberi rawatan awal kepada mereka.

“Kanak-kanak perempuan itu tidak mengalami kecederaan serius dan dibenarkan pulang manakala lelaki tersebut dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk rawatan lanjut selepas mengalami sesak nafas,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Ramlan Ros berkata, dua kes tersebut merupakan kejadian sengatan obor-obor pertama dilaporkan berlaku pada tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai dan pengunjung pantai supaya sentiasa berhati-hati ketika mengadakan aktiviti air di Pantai Bukit Keluang bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Bagaimanapun, seramai lima penyelamat pantai APM yang bertugas di Pantai Bukit Keluang sentiasa bersedia memberi bantuan kepada pengunjung sekiranya berlaku kecemasan pada setiap hari termasuk ketika cuti perayaan.

“Jumlah penyelamat pantai akan ditingkatkan kepada 10 orang pada setiap hujung minggu memandangkan jumlah pengunjung pantai yang sentiasa bertambah pada hari tersebut,” katanya.