Aidilfitri tetap meriah walau raya 'mengejut'

Gambar dari kiri: Muhammad Amin, Anis, Fathanah, Tg Mohd Saifullah
Gambar dari kiri: Muhammad Amin, Anis, Fathanah, Tg Mohd Saifullah
A
A
A

SHAH ALAM - Sambutan Aidilfitri tahun ini tetap disambut meriah walaupun persiapan akhir dibuat secara mengejut selepas pengumuman Syawal pada Isnin.

Muhammad Amin Annursi Mohd Jaafar, 26, yang bekerja sendiri sempat pulang ke kampung sebelum raya tetapi persiapan raya tidak sempat dilakukan.

“Persediaan untuk raya memang kalut, kalau ikutkan memang nak pergi solat terawih dah malam itu, tiba-tiba pengumuman esok raya.

“Terus masjid buat takbir raya dan kelam -kabut keluarkan daging dan ayam dari peti ais. Rendam beras pulut nak buat lemang dan selesai jam 4 pagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Ahad, umat Islam negara ini ‘tergamam’ apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan Aidilfitri disambut pada Isnin.

Keadaan tidak diduga itu mencetuskan suasana kelam-kabut dalam kalangan orang ramai yang menjangka tarikh tersebut jatuh pada 2 Mei sebagaimana tertera menerusi takwim sedia ada.

Tambah Muhammad Amin, mereka sekeluarga juga tidak sempat untuk menunaikan solat Aidilfitri di masjid dan melakukannya di rumah bersama-sama.

“Pagi raya itu bangun lambat, dengan baju tidak bergosok, butang tidak jumpa.

“Punya kelam-kabut pagi itu, tidak sempat pergi, kemudian kami buat di rumah dengan khutbah raya sekali. Itu lah punya terkejutnya raya tahun ini,” ujarnya.

Selain itu, Anis Razani, 26, berkata, raya ketiga baru sempat untuk menyediakan juadah raya seperti rendang, ketupat dan biskut raya.

“Kami sekeluarga bercadang untuk membeli barang basah seperti daging, ayam dan barang lain untuk buat rendang sehari sebelum raya.

“Tahun ini tetiba raya pula, semua kalut, tidak sempat nak beli dan ayam pula habis serta ayam ketika itu juga naik harga sehingga RM10 sekilo.

“Hari ini (Rabu) baru boleh beraya sakan, raya pertama dan kedua tidak meriah,” jelasnya.

Fathanah Ridwan, 25, pula sanggup membeli tiket penerbangan baharu untuk pulang beraya di Sabah walaupun harga melebihi RM1,000.

“Masa umum raya masih di Putrajaya sebab berniaga dan bercadang untuk balik esoknya.

“Selepas umum, terus cari tiket AirAsia, Malindo Air, Malaysia Airlines untuk tengok tiket yang masih ada.

“Jadi kalut lah juga, sebab tetiba raya, maka terpaksa beli tiket baru balik Sabah dengan harga RM1,500,” katanya.

Dalam pada itu, Tg Mohd Saifullah Tg Ambak, 27, memilih untuk kekal bertenang walaupun lari daripada perancangan asal.

Katanya, raya kali ini akan diingati oleh semua kerana ia jarang berlaku.

“Sebagai anak perantau, raya kali ini agak kalut dan terkejut dengan pengumuman raya kali ini tetapi nak buat macam mana.

“Kita dah rancang untuk balik kampung awal sehari sebelum raya. Kiranya dapat la puasa terakhir dengan keluarga tetapi apakan daya, ketentuan ALLAH itu maha besar.

“Walaupun raya kali ni agak kalut dan penuh kejutan, kita kena cuba untuk kekal bertenang. Pengalaman raya kali ni memang akan diingati oleh semua,” ujarnya.