Kakitangan awam di Kelantan kembali bertugas pada Khamis

Ahmad (kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di rumahnya di Kampung Alor Pasir, Tumpat pada Rabu.
Ahmad (kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di rumahnya di Kampung Alor Pasir, Tumpat pada Rabu.
A
A
A

TUMPAT - Kakitangan awam di Kelantan akan kembali bertugas seperti biasa pada Khamis selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 2 Mei.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan cuti peristiwa pada 5 Mei (Khamis), namun mengubah hari kelepasan am atau cuti umum Hari Raya Aidilfitri itu pada 4 Mei (Rabu).

"Apabila Hari Raya Aidilfitri berlaku sehari lebih awal kita tarik (anjakan) menjadi tiga. Sebab kita (kerajaan) telah mengisytiharkan perkara tersebut," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di rumahnya di Kampung Alor Pasir di sini pada Rabu.

Menurutnya, tempoh cuti tiga hari yang diumumkan sebelum ini sudah memadai untuk menyambut hari lebaran.

Bagaimanapun beliau berkata, pada masa akan datang kerajaan negeri akan mencari jalan terbaik jika berdepan situasi begini.

Sementara itu, Ahmad mengingatkan rakyat negeri ini supaya terus kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Alhamdulillah sambutan tahun ini agak meriah apabila ramai perantau pulang ke rumah masing-masing untuk menyambut lebaran walaupun ramai yang terkejut (raya lebih awal daripada jangkaan).

"Bagaimanapun dalam keadaan begitu, kita tidak boleh terus alpa dalam melawan Covid-19. Jadi teruskan patuh kepada SOP," katanya.

Beliau turut memuji sikap rakyat Kelantan yang tetap membuat persiapan dengan meriah untuk menyambut Aidilfitri walaupun dalam keadaan tergesa-gesa.