Op Selamat: 727 kes kemalangan dalam tempoh tiga hari

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 727 kes kemalangan termasuk enam kes kemalangan maut direkodkan dalam tempoh tiga hari Op Selamat 18 Hari Raya Aidilfitri 2022 yang diadakan di negeri ini sejak 29 April lalu.

Polis Johor dalam satu kenyataan memberitahu, daripada jumlah itu, masing-masing dua kes berlaku di Johor Bahru Selatan dan Kota Tinggi manakala satu lagi di Segamat serta Kluang.

"Sepanjang tempoh tiga hari Op Selamat 18 itu dijalankan, Jabatan Siasatan Polis Trafik (JSPT) Kontinjen Johor telah mengeluarkan 7,249 saman bagi kategori enam kesalahan utama.

"Kesalahan itu membabitkan memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, potong Q, langgar isyarat lampu isyarat dan kesalahan menggunakan alat telekomunikasi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas kenyataan itu, penguatkuasaan dilakukan di lokasi panas (hotspot) dan hitam (blackspot) yang kerap berlaku kemalangan selain advokasi terancang bagi mengurangkan kadar kemalangan khususnya kemalangan maut.

Tambah kenyataan berkenaan, maklumat semasa aliran trafik di semua daerah di Johor mendapati aliran trafik masih lagi lancar dan terkawal serta tiada lokasi yang berlaku kesesakan luar biasa.

Polis Johor akan terus fokus dengan penugasan Op Selamat 18 dalam memastikan kelancaran aliran trafik serta memastikan kes-kes jenayah khususnya jenayah pecah rumah dapat dibendung sepanjang musim cuti perayaan kali ini melalui kempen rumah selamat yang dijalankan.

"Nasihat Ketua Polis Johor kepada semua pengguna jalan raya khususnya yang memandu pulang ke kampung dan bercuti sempena cuti panjang untuk terus berhemah ketika memandu.

"Jangan pentingkan diri sendiri, kawal emosi dan sentiasa bersabar dengan situasi semasa, jangan membuat provokasi yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang lain," katanya.