Media arus perdana ingatkan rakyat bahaya Covid-19

Annuar (kanan) menjawab pertanyaan pemberita ketika menziarahi veteran UMNO Tan Sri Hussein Ahmad, 88, di Kampung Lemal pada Ahad. - Foto Bernama
Annuar (kanan) menjawab pertanyaan pemberita ketika menziarahi veteran UMNO Tan Sri Hussein Ahmad, 88, di Kampung Lemal pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Orang ramai diingatkan supaya tidak leka dengan bahaya ancaman Covid-19 biarpun kerajaan memberi beberapa kelonggaran terhadap langkah kawalan dan pencegahan virus tersebut, mulai Ahad.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tidak leka dan alpa, pihaknya akan terus-menerus memberi peringatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) menerusi platform media arus perdana seperti televisyen dan radio.

"Platform media arus perdana seperti televisyen komersial termasuk Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama, serta radio perlu sentiasa memainkan peranan memperingati bahawa bahaya itu tetap ada terutama bagi golongan berisiko, warga emas serta berpenyakit kronik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi bekas Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Hussein Ahmad di Kampung Lemal pada Ahad.