JPJ Terengganu keluar 175 saman hari pertama Op Hari Raya Aidilfitri

Zulkarnain (kanan) melakukan pemeriksaan ke atas sebuah motosikal pada hari pertama pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2022 (OP HRA 2022) di Gong Badak, Kuala Nerus pada Sabtu malam.
Zulkarnain (kanan) melakukan pemeriksaan ke atas sebuah motosikal pada hari pertama pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2022 (OP HRA 2022) di Gong Badak, Kuala Nerus pada Sabtu malam.
A
A
A

KUALA NERUS - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan sebanyak 175 saman pada hari pertama pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2022 (OP HRA 2022) peringkat negeri, pada Sabtu malam.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, saman tersebut dikeluarkan selepas pemeriksaan dijalankan ke atas 1,176 kenderaan di tiga persimpangan di Jalan Gong Badak di sini.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah LKM (Lesen Kenderaan Motor) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans sebanyak 75 kes; tiada lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh sebanyak 55 kes; kesalahan nombor pendaftaran 26 kes; manakala bakinya adalah lain-lain kesalahan seperti tiada cermin sisi dan cermin kereta terlalu gelap.

"Sebanyak 10 buah motosikal juga telah disita, kebanyakannya melibatkan kesalahan LKM tamat tempoh,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan OP HRA 2022 di Jalan Gong Badak, di sini pada Sabtu malam.

Zulkarnain berkata, OP HRA 2022 pada malam tadi yang lebih menumpukan kepada motosikal telah berjaya menahan seorang lelaki yang berumur 45 tahun kerana disyaki membawa dadah.

Operasi tersebut juga turut mengesan tiga lelaki berumur antara 30 hingga 35 tahun yang didapati positif dadah, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), katanya.

Beliau berkata, seramai 119 anggota JPJ terlibat dalam operasi pada malam tadi dengan dibantu 19 anggota Polis Diraja Malaysia dan 18 anggota AADK.

"OP HRA 2022 ini kita akan jalankan bermula malam ini (malam tadi) sehingga 8 Mei ini bagi memastikan pengguna jalan raya dan pemilik kenderaan mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang musim perayaan ini,” katanya. Bernama