Jutaan warga Indonesia mudik untuk sambut raya

Lebih 220,000 ribu kenderaan dijangka melalui gerbang tol ini pada waktu puncak tahun ini. 

Pihak berkuasa melakukan beberapa pendekatan untuk mengatasi masalah kesesakan seperti sistem satu arah dan lawan arus (contraflow).
 - Foto Bernama

A
A
A

JAKARTA - Pergerakan balik ke kampung halaman sempena musim perayaan atau "mudik" melibatkan berjuta-juta rakyat Indonesia yang bekerja di bandar-bandar utama untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri mencapai kemuncaknya hari ini (Sabtu).

Lebih-lebih lagi, buat pertama kali dalam tempoh dua tahun rakyat Indonesia dibenarkan pulang ke kampung halaman apabila kerajaan melonggarkan sekatan akibat Covid-19, berikutan kes jangkitan yang rendah dan usaha yang diambil untuk memulihkan ekonomi.

Rakyat Indonesia dijangka menyambut hari mulia itu pada Isnin atau Selasa.

Kira-kira 85 juta orang dijangka melakukan perjalanan, termasuk 14 juta dari kawasan metropolitan Jakarta, dengan 23 juta kereta persendirian dan 17 juta motosikal meninggalkan ibu kota.

Kenderaan dari Jakarta menuju Jawa Barat bergerak perlahan sepanjang 2 KM di Jalan tol Trans-Jawa. Aliran trafik sesak di Gerbang Tol Cikampek Utama, Purwakarta, Jawa Barat berikutan orang ramai balik ke kampung untuk menyambut Hari Raya. - Foto Bernama

Bagi melindungi orang ramai semasa mudik tahun ini, kerajaan mempercepatkan vaksinasi Covid-19 dengan menyediakan akses yang lebih baik kepada vaksin termasuk di lapangan terbang, terminal bas dan pelabuhan.

Sehingga hari ini, kira-kira 80 peratus daripada 208 juta populasi sasaran telah menerima dos kedua vaksin dengan 36 juta sudah mendapat suntikan penggalak.

Kerajaan mengingatkan rakyatnya agar sentiasa berwaspada bagi mengelak lonjakan kes baharu Covid-19 dan kemunculan gelombang baharu penularan virus.

Presiden Joko Widodo dijadual menunaikan solat sunat Aidilfitri di Yogyakarta dan tidak akan menganjurkan rumah terbuka semasa sambutan itu.

Sementara itu, Zulkarnain, 33, seorang pengawal keselamatan di Jakarta, memberitahu Bernama beliau sangat teruja untuk berjumpa ibu bapanya untuk berhari raya.

"Saya akan mengambil cuti selama dua minggu dan penerbangan saya ke Palembang esok.

"Saya tidak sabar untuk bertemu dengan mereka terutamanya ibu saya. Saya sangat rindukan makanan kegemaran saya, Pempek. Kami baru sahaja membuat panggilan video. Ibu saya ada di dapur menyediakannya."

Pempek ialah makanan istimewa dari Palembang di Sumatera Selatan yang diperbuat daripada ikan dan ubi kayu.

Sejak dua tahun lalu Zulkarnain dan keluarganya menyambut Aidilfitri secara maya menerusi panggilan video WhatsApp. - Bernama