FAMA sasar jualan outlet Semarak Syawal cecah RM1.5juta

Ghazale (kiri) melihat Abdul Razak (dua,kiri) mengacau dodol sebagai simbolik merasimikan program Jualan Semarak Syawal di Pasar Tani Jasin, di sini, pada Sabtu.
Ghazale (kiri) melihat Abdul Razak (dua,kiri) mengacau dodol sebagai simbolik merasimikan program Jualan Semarak Syawal di Pasar Tani Jasin, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

JASIN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan nilai jualan di outlet pemasaran mencecah sehingga RM1.5juta sepanjang program Jualan Semarak Syawal.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, program yang bermula 24 April lalu hingga 2 Mei depan itu dilaksanakan di 85 outlet pemasaran di negeri ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 50 terdiri daripada Melaka Agro Market (MAM), 21 Agrobazaar kedai Rakyat (AKR), sembilan pasar tani dan lima Agrobazaar Rakyat (ABR).

"Dengan adanya program itu, seramai 38 usahawan akan mendapat manfaat melalui penyediaan ruang-ruang jualan dan program promosi khas Syawal di outlet-outlet tersebut. Program di outlet-outlet pemasaran turut memberi peluang kepada usahawan untuk menjana pendapatan tambahan.

"Kita juga menyasarkan nilai jualan program ini di Pasar Tani Jasin akan mencapai RM200 ribu sepanjang program ini berlangsung," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jualan Semarak Syawal peringkat negeri di Pasar Tani Jasin di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Ghazale Muhammad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, FAMA Melaka turut memperkenalkan Jualan Bakul Syawal yang mengandungi lapan jenis barangan seperti lengkuas, halia, bawah merah dan serai dengan harga RM10 sebakul.

"FAMA Melaka juga akan mewujudkan 'Raya Station' yang menghimpun kuih-kuih raya tradisional dan moden untuk jualan di setiap outlet pemasaran," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak turut memberi jaminan bekalan makanan di negeri ini mencukupi termasuk telur dan harga masih terkawal.

"Bekalan tak ada masalah dan harga juga terkawal. Di melaka (telur) tidak ada masalah kerana kita salah satu negeri pengeluaran telur terbesar," katanya.