PM ucap takziah kepada keluarga Ahmad Rithauddeen

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Pertahanan, Allahyarham Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, 94, yang meninggal dunia pada Jumaat.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu, beliau turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan mendoakan agar seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi dugaan tersebut.

“Mendapat perkhabaran sedih di atas pemergian bekas Menteri Pertahanan, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, 94, yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.43 malam tadi, 29 April 2022 (Jumaat) bersamaan 28 Ramadan 1443H.

“Mewakili Keluarga Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan ini,” tulis beliau.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut memberitahu bahawa Allahyarham bukan sahaja seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan, tetapi juga veteran UMNO yang sangat dihormati.

Menurutnya, selain menjadi Menteri Pertahanan pada tahun 1987 hingga 1990, antara jawatan lain yang pernah disandang oleh Allahyarham dalam kerajaan, termasuk Menteri Hal-Ehwal Luar Negara, Menteri Perdagangan dan Industri serta Menteri Penerangan.

“Dalam arena politik, Allahyarham yang dikenali sebagai Ku Deen juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Sesungguhnya, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” ujarnya.