Perantau utara mula tiba di Kelantan

Ahmad (dua dari kiri) memberi penerangan mengenai enam kesalahan utama yang tidak lagi dikenakan kompaun kepada pengguna jalan raya di Batu 6, Batu Melintang, Jeli.
Ahmad (dua dari kiri) memberi penerangan mengenai enam kesalahan utama yang tidak lagi dikenakan kompaun kepada pengguna jalan raya di Batu 6, Batu Melintang, Jeli.
A
A
A

JELI - Perantau dari negeri-negeri di utara tanah air mula tiba di Kelantan bagi meraikan Aidilfitri pada Selasa ini selepas dua tahun tidak dapat beraya di kampung halaman akibat Covid-19.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin berkata, anak-anak kelahiran Kelantan itu mula memasuki negeri ini melalui Jalan Raya Timur Barat dari Gerik ke Jeli pada Khamis.

“Mereka dari Kedah yang mula bercuti pada Jumaat sudah memulakan perjalanan pulang ke kampung pada petang Khamis.

“Mereka yang dari Perlis dan Pulau Pinang pula tiba pada lewat petang Jumaat,” katanya semasa Pelancaran Op Selamat 18 Peringkat Jeli di sekatan jalan raya (SJR) di Batu 6, Batu Melintang di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, keadaan kenderaan masuk ke Kelantan secara bertali arus tersebut dijangka berterusan dan meningkat sehingga perayaan Aidilfitri ini.

“Setakat hari ini, lalu lintas berada dalam keadaan lancar dan kemasukan kenderaan dari negeri-negeri utara ke Kelantan dijangka akan bertambah lebih lima sehingga 10 peratus dari waktu biasa.

“Pihak berkuasa bersiap sedia dengan menempatkan tujuh anggota dan pegawai dari pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam serta Jabatan Sukarelawan Malaysia di SJR Batu 6, Batu Melintang bagi membantu melancarkan perjalanan masyarakat balik ke kampung untuk berhari raya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu secara berhemah dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta berhenti jika mengantuk selain tidak membuang sampah semasa kenderaan bergerak.

“Dalam operasi ini, orang ramai juga diberikan pelekat kenderaan menggariskan enam kesalahan utama yang tidak akan lagi dikenakan kompaun, sebaliknya perlu menyelesaikan kes itu di mahkamah.

“Ini adalah peringatan kepada pengguna jalan raya supaya tidak melakukan kesalahan memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi peringatan kepada pemilik dan pemandu kenderaan berat hanya perkhidmatan perlu sahaja yang dibenarkan berada di atas jalan raya bermula Sabtu.

“Lori yang membawa bekalan seperti makanan, ubat-ubatan dan minyak petrol sahaja dibenarkan dipandu di jalan raya dengan had laju maksimum 80 kilometer per jam (km/j) berbanding 90 km/j sebelum ini.

“Treler misalnya yang membawa hasil bumi seperti balak pula tidak dibenarkan berada di atas jalan raya berkuat kuasa hari ini sehingga 2 Mei ini,” katanya.