Dua rakan dituduh bunuh lelaki Indonesia

Dua rakan dituduh membunuh seorang lelaki Indonesia pada Jumaat lalu.
Dua rakan dituduh membunuh seorang lelaki Indonesia pada Jumaat lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah 3 di sini, pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Indonesia.

Dino Antonio Felix, 52, dan Ng Tse How, 45, dituduh bersama-sama membunuh Arsan Eka Putra yang berusia 33 tahun di Eastern Court, Jelutong pada jam 5.39 petang, 22 April lalu.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Cyril Jatius di hadapan Majistret R Manomani.

Cyril berkata, tiada jaminan ditawarkan kerana Mahkamah Majistret tiada kuasa untuk menawarkan jaminan terhadap kes bunuh.

Kes didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Kes ditangguhkan pada 30 Jun ini untuk menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Sebelum ini, polis telah mengklasifikasikan semula kes seorang lelaki warga Indonesia yang ditemui mati dalam keadaan kaki kirinya dirantai dengan rantai besi pada kerusi di sebuah apartmen di Jelutong, di sini, sebagai kes bunuh.

Mayat lelaki warga Indonesia itu dijumpai orang awam di pekarangan tempat letak kereta apartmen tersebut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan.

Mangsa berusia 33 tahun dipercayai terjatuh dari salah sebuah bilik di kediaman yang disewanya bersama seorang rakan berketurunan Cina.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa dan rakannya datang dari Melaka dan mula menyewa kediaman tersebut sejak 13 April lalu.

Mangsa masuk ke negeri ini menggunakan laluan laut dari Dumai pada 23 Mac lalu.

Hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang mendapati punca kematian mangsa adalah kerana kecederaan parah pada kepala dan tulang pinggul akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Selain itu, mangsa juga disahkan positif Covid-19.