Sanjeevan dapat kebenaran rayu hukuman kes peras ugut pekerja kedai

Sanjeevan
Sanjeevan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Khamis membenarkan permohonan bekas Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap hukuman penjara tiga bulan dan denda RM7,000 bagi kesalahan memeras ugut seorang pekerja kedai, sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara membenarkan permohonan Sanjeevan, 38, bagi mendapatkan kebenaran merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi Temerloh pada 27 November 2020.

"Pemohon perlu memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini," kata Kamaludin bersidang bersama-sama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan.

Panel itu turut membenarkan permohonan ahli perniagaan berkenaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu keputusan rayuan.

Peguam Datuk V. Sithambaram, yang mewakili Sanjeevan, memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan sembilan persoalan undang-undang.

Pada 14 Ogos 2018, Sanjeevan dihukum penjara tiga bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Temerloh selepas didapati bersalah memeras ugut seorang pekerja kedai lelaki dengan meminta wang tunai RM1,500 atau mangsa berdepan risko tidak boleh meneruskan perniagaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Dagangan 8, Pusat Dagangan Triang Pahang, Bera pada 9.45 malam 1 Julai 2013 mengikut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Pada 27 November 2020, Mahkamah Tinggi Temerloh mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret manakala pada 4 Disember tahun yang sama, Mahkamah Tinggi turut membenarkan permohonan Sanjeevan untuk menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani memerintahkan Sanjeevan membayar jaminan RM35,000 dengan dua penjamin dan menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah serta melaporkan diri di Balai Polis Semenyih, Kajang, Selangor setiap minggu sehingga pendengaran kes di Mahkamah Rayuan selesai dan mendapatkan kebenaran Ketua Polis Daerah Kajang sebelum keluar daerah.

Pada prosiding hari ini (Khamis), Sanjeevan turut diwakili peguam S. Preakas dan Miguel Sequerah manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim. - Bernama