Tokan dadah terbesar di Marang dihadap ke mahkamah

Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Khamis.
Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Khamis.
A
A
A

MARANG - Tokan dadah terbesar di Marang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan membabitkan kesalahan mengedar dan menyalahgunakan dadah.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Aziz Said, 55 selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh disyaki mengedar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 13.2 kilogram (kg) pada 18 April 2022 jam 12.50 tengah malam bertempat di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Yaakub, Marang.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh disyaki mengedar dadah jenis methampehamine anggaran berat 555.20 gram pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh disyaki menyalahgunakan dadah dengan cara menyalahi undang-undang bertempat di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang pada 18 April 2022 jam 4 pagi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB (pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan diikuti dengan perintah pengawasan di bawah Seksyen 38 B ADB 1952 (pindaan 2002) tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Kes itu dikendalikan Nik Rabiatul Adawiyah Nik Soupy manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 28 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu polis menahan seorang lelaki dipercayai antara pengedar dadah terbesar di daerah ini dan merampas dadah seberat lebih 13kg dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Yaakob, Bukit Payong, di sini pada 18 April lalu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, suspek ditangkap dalam Operasi Tapis Khas 3.0 dan Jihad Dadah kira-kira jam 12.50 malam.