Anih Berhad tingkat usaha hadapi peningkatan kenderaan di KLK, LPT1

Cadangan waktu perjalanan diedarkan kepada pengguna di Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Temeroh selain di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan.
Cadangan waktu perjalanan diedarkan kepada pengguna di Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Temeroh selain di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan.
A
A
A

KUANTAN - Jumlah kenderaan harian yang menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijangka meningkat kepada 207,500 kenderaan sempena musim perayaan Aidilfitri bagi tempoh 29 April sehingga 8 Mei depan.

Bagi Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1) peningkatan kenderaan dijangka mencecah hingga 100,000 kenderaan sehari dalam tempoh tersebut.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, sejak awal Ramadan, Lebuhraya KLK mencatatkan 145,231 kenderaan pada setiap hujung minggu manakala LPT1 mencatatkan 45,600 kenderaan.

Menurutnya, sebagai pengendali dua lebuh raya itu, Anih Berhad meningkatkan usaha bagi memastikan keadaan Lebuhraya KLK dan LPT1 berada dalam keadaan baik dengan melakukan kerja-kerja pembaikan jalan raya dan penambahbaikan kemudahan awam di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) serta hentian sebelah.

"Kerja-kerja pembaikan dilaksanakan sejak awal Ramadan memandangkan aliran trafik ke Pantai Timur menunjukkan peningkatan ketara.

“Anih Berhad juga sedang giat meningkatkan kemampuan tenaga kerjanya bagi menyediakan perkhidmatan terbaik demi memastikan kesesakan di lebuh raya berkenaan pada musim perayaan ini dapat dikurangkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Radzimah berkata, antara langkah yang diambil termasuklah menambah bilangan juru tol, seiring dengan penambahan lorong di plaza tol dari 100 kepada 151 lorong.

"Selain itu, syarikat juga akan mengedarkan cadangan waktu perjalanan di Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Temerloh.

"Cadangan waktu perjalanan itu turut akan diedarkan di kaunter–kaunter Pusat Khidmat Pelanggan Tol Gombak, Tol Bentong, Tol Karak, Tol Temerloh dan Tol Kuantan minggu ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain meningkatkan kerjasama dengan pasukan keselamatan lain, Anih Berhad turut mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kemalangan.

"Antara langkah yang diambil termasuklah meningkatkan kekerapan rondaan pasukan LPT Ronda, meningkatkan jumlah aset dan tenaga kerja yang bertugas bagi mempercepatkan tempoh masa tindak balas di lebuh raya.

"Sekiranya perlu, kami juga akan mengaktifkan laluan kontra apabila berlakunya kemalangan," jelasnya.

Sementara itu, Radzimah berkata, meskipun Kementerian Pengangkutan telah menggariskan pengecualian kompaun kepada lima kesalahan lalu lintas bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Anih Berhad tetap ingatkan pengguna supaya sentiasa memandu secara berhemah dan bersabar demi keselamatan semua.

"Selain merancang perjalanan mengikut cadangan jadual perjalanan yang diberikan, pengguna juga disarankan untuk memastikan baki dalam e-Wallet, kad Touch n’Go atau SmartTag mencukupi sebelum memasuki lebuh raya bagi mengurangkan kesesakan.

"Walaupun kerajaan umumkan pengecualian bayaran tol sempena musim perayaan ini, pengguna tetap perlu menyentuh kad Touch n’GO mereka pada alat pengesan di lorong bagi tujuan pengesahan," katanya.

Beliau berkata, pengguna diingatkan untuk masuk dan keluar lebuh raya dalam tempoh yang ditetapkan bagi menikmati pengecualian tersebut.

"Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh merujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/Anih Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT - Line di 1-700-818-700," katanya.