Duit raya RM700 buat guru sandaran SAR

Syed Ibrahim Syed Ahmad
Syed Ibrahim Syed Ahmad
A
A
A
KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang menyediakan sumbangan Aidilfitri RM700 seorang kepada 81 guru agama di 12 sekolah agama rakyat (SAR) di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penerima adalah dalam kalangan guru di lapan sekolah rendah dan empat sekolah menengah agama rakyat di Temerloh, Pekan, Jerantut, Lipis, Bentong dan Maran.

Menurutnya, guru-guru berkenaan merupakan golongan yang belum menerima sebarang sumbangan berbanding kumpulan sasaran lain.

"Golongan itu sewajarnya diberi perhatian dan bantuan kerana jawatan guru disandang mereka secara sandaran dan tergolong dalam kumpulan B40.

"Sumbangan Aidilfitri itu dijangka akan diserah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Yayasan Pahang pada Jumaat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Syed Ibrahim berkata, sumbangan Aidilfitri itu juga turut disediakan untuk petugas di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas)

"Semoga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu para penerima membuat persiapan meraikan Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi," katanya.

Pada 13 April lalu, kerajaan Pahang mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM1,200 sempena Aidilfitri kepada 8,000 penjawat awam di negeri ini.

Sebanyak RM9.6 juta diperuntukkan untuk bantuan khas yang telah dinikmati penjawat awam negeri melibatkan semua gred perjawatan pada 20 April lalu.

Jumlah bantuan khas itu meningkat RM200 tahun ini berbanding RM1,000 yang disumbangkan tahun lalu.