JPJ Melaka periksa tiga depoh bas ekspres

Muhammad Firdaus (tengah) melihat anggota dan pegawainya memeriksa tayar bas ekspres bagi memastikan penggunaannya mengikut piawaian ditetapkan ketika pemeriksaan bas di depoh sempena Op Hari Raya Aidilfitri 2022 di Malim Jaya pada Selasa. - Foto Bernam
Muhammad Firdaus (tengah) melihat anggota dan pegawainya memeriksa tayar bas ekspres bagi memastikan penggunaannya mengikut piawaian ditetapkan ketika pemeriksaan bas di depoh sempena Op Hari Raya Aidilfitri 2022 di Malim Jaya pada Selasa. - Foto Bernam
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka melakukan pemeriksaan di tiga depoh di negeri berkenaan membabitkan 20 bas ekspres pada Op Hari Raya (HRA) 2022 bagi memastikan kenderaan yang beroperasi berada dalam keadaan selamat.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, fokus utama kenderaan yang diperiksa ialah untuk memastikan penggunaan tayar mengikut piawaian yang ditetapkan dan sistem brek berfungsi dengan baik serta selamat.

"Pemeriksaan itu juga untuk memastikan bahagian kenderaan seperti lampu, cermin, pembalik cahaya (reflector) dan lain-lain berfungsi serta berkeadaan baik supaya bas yang digunakan selamat dan mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

"Di Melaka, terdapat tiga depoh bas ekspres iaitu di Taman Malim Jaya, Bachang dan Alor Gajah, dan setakat ini tiada kompaun dikeluarkan selain pengusaha juga mematuhi syarat-syarat ditetapkan untuk bas yang beroperasi," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan bas ekspres di sini malam Selasa.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, slip pemeriksaan bas akan dikeluarkan bagi tempoh sah laku adalah tujuh hingga 14 hari bergantung kepada ukuran ketebalan bunga tayar bas semasa diperiksa.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyemak semula slip itu selepas tempoh tujuh hari sama ada ia masih sah selain melakukan pemeriksaan semula pada bas dan sekiranya keadaan tayar dan kenderaan tidak memuaskan, pengusaha akan diarahkan menukar bas untuk beroperasi.

"Bagi bas yang didapati terdapat masalah ketika pemeriksaan, slip tersebut tidak akan dikeluarkan dan pemilik bas diminta untuk membaiki keadaan atau kerosakan tersebut serta-merta.

"Selain itu, JPJ juga akan menempatkan anggota di terminal-terminal bas untuk membantu membuat pemeriksaan sebelum bas memulakan perjalanan sekiranya ada bas yang tidak dapat dibuat pemeriksaan di depoh," katanya. - Bernama