Penggunaan katil ICU Covid-19 bawah 50 peratus

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Sistem kesihatan awam negara kini semakin memuaskan selepas kesemua negeri mencatatkan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di bawah 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui kenyataan pada Rabu memaklumkan, Selangor merekodkan penggunaan katil ICU tertinggi dengan 44 peratus membabitkan 38 pesakit menerima rawatan daripada 86 buah katil sedia ada.

Menurut beliau, penggunaan katil ICU Kuala Lumpur pula sebanyak 27 peratus, Kedah (19), Johor (15), Perak (11), Sabah dan Melaka (10), Pulau Pinang dan Perlis (sembilan), Kelantan (lapan), Sarawak (enam), Negeri Sembilan (lima) dan Terengganu (tiga).

"Tiada pesakit dirawat di ICU Putrajaya yang menempatkan tiga buah katil," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan pesakit yang sedang menerima rawatan di ICU ialah 101 orang berbanding bilangan katil ICU Covid-19 iaitu 752.

Mengulas data harian penularan jangkitan Covid-19, beliau berkata, sebanyak 3,361 kes baharu dilaporkan pada Selasa menjadikan jumlah keseluruhannya, 4,436,912 kes.

"Daripada 3,361 kes harian yang dilaporkan, sebanyak 15 kes ialah kategori lima manakala 11 kes untuk kategori tiga dan empat kes untuk kategori empat.

"Kategori dua pula ialah 2,075 kes manakala kategori satu 1,256 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 63 pesakit yang dirawat di ICU memerlukan bantuan pernafasan.

"Kes sembuh yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari sama sebanyak 9,484 kes dan jumlah kumulatif 4,339,521 kes," katanya.