Mengaku tidak bersalah sebabkan kematian

Tertuduh mengaku tidak bersalah setelah dihadapkan di Mahkamah Seksyen atas dakwaan menyebabkan kematian seorang lelaki pada 14 Mac lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah setelah dihadapkan di Mahkamah Seksyen atas dakwaan menyebabkan kematian seorang lelaki pada 14 Mac lalu.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang pemuda mengaku tidak bersalah hari ini setelah dihadapkan di Mahkamah Seksyen atas dakwaan menyebabkan kematian seorang lelaki pada 14 Mac lalu.

Tertuduh Lau Kar Shen 22, yang bekerja sendiri didakwa dengan niat menyebabkan kematian Azraff Kamarulzaman,19 di antara jam 12.01 pagi sehingga 2 pagi di tepi jalan ladang kelapa sawit Kampung Paya Lang, Mengkuang, Bera.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh mengikut seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimun 30 tahun dan denda.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Azuar Che Yusof selepas pertuduhan dibacakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilla Md.Ali dan tertuduh diwakili peguam Eddy Tajuddin.

Ain Fadilla memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin, tidak mendekati keluarga si mati dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran hingga kes selesai.

Namun peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana tertuduh hanya bekerja sendiri sebagai penyelenggara penyaman udara dengan pendapatan RM1,500 sebulan masih menanggung adik dan abang yang masih belajar selain bapanya yang menghidap strok.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh juga perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu keluarga mangsa serta kes disebut semula pada 23 April depan.

Artikel Berkaitan: