Pas Leak: Polis KL panggil ahli politik disebut dalam minit mesyuarat

Azmi
Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil semua ahli politik yang namanya disebut dalam satu minit mesyuarat dirujuk sebagai dokumen 'Pasleak', yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin Pas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya telah memulakan siasatan terhadap kes itu.

"Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur akan memanggil semua ahli politik yang dinamakan dalam dokumen tersebut untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Menara TM, pada Selasa.

Bagaimanapun Azmi tidak menjelaskan secara lanjut tarikh dan masa ahli politik berkenaan akan dipanggil.

Pada Jumaat lalu, Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad menyifatkan penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Pas adalah cubaan meretakkan hubungan antara parti-parti Melayu.

Menurutnya, tindakan tersebut merupakan suatu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Idris memaklumkan tindakan menyebarkan tangkap layar dokumen tersebut juga dilihat untuk meraih perhatian rakyat.

Pada hari sama, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas lanjut mengenai kebocoran dokumen minit mesyuarat yang didakwa milik Pas.

Beliau berkata dokumen empat muka surat yang tular Rabu lalu tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Sebelum ini, empat keping tangkap layar mengenai percaturan politik Pas antaranya menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah tular di media sosial.

Dokumen diklasifikasikan sebagai sulit itu dipercayai merupakan minit mesyuarat Pas yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.