Pemadam, kertas termal dikesan mengandungi EDCs: CAP

Mohideen menunjukkan sebahagian pemadam yang didapati mengandungi EDCs yang membahayakan kesihatan pengguna.
Mohideen menunjukkan sebahagian pemadam yang didapati mengandungi EDCs yang membahayakan kesihatan pengguna.
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengawal selia Bahan Kimia Pengganggu Endokrin (EDCs) dalam produk yang dijual di negara ini.

Kajian mendapati antara produk yang dikenal pasti mengandungi EDCs adalah pemadam dan kertas termal.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat selepas mendapati kebanyakan daripada pemadam buatan China mempunyai ciri-ciri khayalan (rekabentuk seperti watak kartun dan buah-buahan) yang boleh menarik minat kanak-kanak untuk memasukkan ke dalam mulut mereka.

Menurutnya, selain pemadam, kertas termal yang diambil daripada pelbagai lokasi awam antaranya hospital, pejabat pos, kedai runcit, kedai serbaneka dan pasar raya didapati mengandungi Bisphenol A (BPA) dan Bisphenol S (BPS).

"Daripada 44 sampel kertas termal yang diserahkan oleh Malaysia, 27 daripadanya mengandungi BPA dan 13 sampel mengandungi BPS.

"Dalam kajian ke atas pemadam pula, daripada 40 sampel yang diuji, 26 daripadanya telah dikesan mengandungi Flafat.

"Pada masa ini, tiada standard bagi analog BPA (atau derivatif) dalam kertas termal dan flafat dalam pemadam di Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Pejabat CAP di sini pada Selasa.

Mohideen berkata, kajian dilakukan dengan bantuan Wonjin Institute for Occupational and Environmental Health (WIOEH) dengan sokongan daripada Financial Industry Public Interest Foundation (FIPIF), Korea.

Katanya, FIPIF dan WIOEH menganjurkan bersama Persidangan Asia Bebas EDC pada 31 Mac lalu bagi mengumumkan hasil ujian untuk membuktikan terdapat EDC dalam pemadam dan kertas termal selain mendedahkan bahaya EDC terhadap kanak-kanak.

"Persidangan itu turut dihadiri pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai negara antaranya Indonesia; Nepal; Jepun, Korea dan CAP yang mewakili Malaysia.

"Kedua-dua pihak itu juga menggesa agar kerajaan negara-negara Asia menggubal undang-undang untuk memastikan rakyat dilindungi daripada bahaya ini.

"Korea dan beberapa negara Eropah sudah mempunyai undang-undang berkenaan," katanya.

Tambah beliau, menurut laporan yang diterbitkan oleh Endocrine Society dan International Pollutants Elimination Network (IPEN), EDCs dikaitkan dengan gangguan neurologi, tingkah laku, obesiti, disfungsi metabolik, gangguan reproduktif dan kanser sensitif hormon.

"Pengeluaran dan penggunaan flafat adalah kebimbangan kesihatan awam disebabkan oleh beberapa flafat yang dikenal pasti sebagai EDCs.

"Para pakar memberi amaran bahawa pendedahan kepada EDCs dan kesannya boleh berlaku pada dos yang amat rendah, bawah nilai ambang peraturan yang ditetapkan dengan terdapat kecenderungan tiada dos 'selamat' bagi EDCs," katanya.