Hulk kecam rejim Zionis

Ruffalo pernah beberapa kali mengecam penindasan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin. - Foto Agensi
Ruffalo pernah beberapa kali mengecam penindasan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin. - Foto Agensi
A
A
A

LOS ANGELES - Pemegang watak adiwira terkenal, Hulk mendakwa rejim Zionis menyasarkan penduduk Islam dan petugas media di pekarangan Masjid al-Aqsa atau Haram al-Sharif di Baitulmaqdis ketika ketegangan semakin memuncak di kota suci tersebut.

Mark Ruffalo berkongsi pandangan beliau tentang perkara itu menerusi akaun Twitter miliknya selepas Israel menggunakan tindakan kekerasan melampau secara berterusan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

"Sejak Jumaat lalu, hampir 500 penduduk Palestin ditahan di al-Aqsa selain kira-kira 170 dilaporkan cedera dan sebahagian daripadanya termasuk petugas media berada dalam keadaan kritikal," ujarnya di laman blog mikro berkenaan.

Difahamkan, ia bukanlah pertama kali Ruffalo menyelar penindasan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

Pada tahun lalu, beliau bersama 100 selebriti dikatakan menandatangani surat yang mendakwa Israel melakukan pendudukan aparteid dan kolonialisme serta pelanggaran hak asasi manusia yang teruk selain rejim aparteid yang melakukan diskriminasi kaum.

Pengarah Hollywood itu juga pernah menggesa pentadbiran Amerika Syarikat (AS) supaya mengenakan sekatan terhadap rejim Tel Aviv ketika perang tercetus di Genting Gaza pada 2021.

Ketika ini, banyak pihak mengecam rejim Zionis kerana melakukan tindakan provokasi dengan bertindak menggunakan kekerasan terhadap penduduk Palestin sekali gus mencemari kesucian al-Aqsa. - Agensi