Enam warga Sarawak ditipu sindiket pekerjaan di Kemboja

Mohd Azman menunjukkan nombor talian untuk dihubungi dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, pada Isnin. - Foto Bernama
Mohd Azman menunjukkan nombor talian untuk dihubungi dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Enam lelaki dari Sarawak didakwa diperdaya sindiket penipuan untuk bekerja di Kemboja, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Beliau berkata, mangsa yang berusia antara 19 hingga 39 tahun berasal dari Kuching dan Padawan itu kononnya telah ditawarkan dengan gaji yang lumayan.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa-mangsa telah ditawarkan peluang bekerja di Kemboja oleh ejen pekerjaan.

"Mangsa kemudian telah pergi ke Kemboja dan setelah berada di sana, mereka berasa telah diperdaya setelah dipaksa melakukan kerja-kerja penipuan melalui panggilan telefon,” katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin.

Beliau berkata susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan bekerjasama dengan Interpol untuk mengesan mangsa-mangsa dan suspek yang merupakan ejen pekerjaan itu dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mohd Azman turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran iklan pekerjaan di laman sesawang atau media sosial seperti aplikasi Facebook, WhatsApp dan Wechat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mac, sebanyak 666 kes jenayah penipuan dicatatkan berbanding 640 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas, iaitu 27.45 peratus peningkatan.

"Kerugian bagi tempoh itu adalah sebanyak RM17.8 juta bagi 2022, manakala bagi tempoh 2021 adalah sebanyak RM15.3 juta.

"Kes-kes jenayah komersial yang melibatkan mangsa paling ramai di Sarawak adalah kes pelaburan sebanyak 50 kes dengan kerugian RM2.5 juta, kes menyamar sebanyak 85 kes dengan kerugian RM1.8 juta, Macau Scam sebanyak 48 kes dengan kerugian RM1.7 juta, tawaran pekerjaan sebanyak 58 kes dengan kerugian RM786,000 dan pinjaman tidak wujud 63 kes dengan kerugian RM419,000,” katanya. - Bernama